NASHVILLE, Amerika Syarikat: Lionel Messi sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak hatrik sensasi untuk membantu Inter Miami menewaskan Nashville SC 5-2, sekali gus mengesahkan tempat ke playoff Major League Soccer (MLS), pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, bintang Argentina itu turun pada aksi terakhir musim biasa selaku pendahulu senarai penjaring dengan 26 gol, dua di depan penyerang Los Angeles FC, Denis Bouanga.
Kini dengan 29 gol daripada 28 perlawanan, Messi hampir pasti merangkul Kasut Emas pertamanya di MLS dan turut mengukuhkan peluang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua.
Kemenangan itu juga memastikan Miami menamatkan saingan di tangga ketiga Eastern Conference.
Skuad kendalian Javier Mascherano itu akan kembali menentang lawan sama, Nashville pada pusingan pertama playoff Piala MLS yang dijadual bermula 24 Oktober ini.
“Apa lagi boleh saya katakan mengenai Leo?” kata Mascherano.
“Hari ini dia luar biasa seperti selalu. Sudah pasti dia layak memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai atas apa yang dipamerkannya.
“Saya gembira buatnya kerana sekali lagi dia menjadi faktor kemenangan kami.”
Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-34 dengan rembatan deras dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Jordi Alba.
Namun sembilan minit kemudian, Sam Surridge menyamakan kedudukan untuk Nashville menerusi tandukan hasil umpanan tepat Hany Mukhtar.
Nashville kemudian mendahului 2-1 pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Jacob Shaffelburg menyambar bola muntah selepas percubaan Mukhtar terkena tiang.
Messi menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti, juga penalti pertamanya musim ini selepas bola rembatan Luis Suarez terkena tangan Mukhtar di dalam kotak.
Baltasar Rodriguez menambah jaringan ketiga buat Miami pada minit ke-67 sebelum Messi melengkapkan hatriknya dengan sepakan melencong menewaskan Joe Willis pada minit ke-81.
Pemain gantian Telasco Segovia menutup pesta gol Miami dengan jaringan kelima pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






