Home Buletin Semasa KAUM INDIA DI KELANTAN BUAT PERSIAPAN DEEPAVALI

KAUM INDIA DI KELANTAN BUAT PERSIAPAN DEEPAVALI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kurang seminggu menjelang sambutan Deepavali, rata-rata kaum India kini sibuk membuat pelbagai persiapan bagi meraikan perayaan penuh cahaya itu.

Bagi Thivya Darshini, 28, dari Kuala Krai, dia mula membuat persiapan perayaan sejak 10 Oktober lalu termasuk menyediakan pelbagai juadah seperti muruku, achi murukku dan pelbagai aneka biskut.

Katanya, kebiasaan itu dilakukan setiap tahun bagi mengelak kesuntukan masa menjelang hari perayaan.

“Selain itu, saya juga sudah beli pakaian baharu bulan lalu iaitu saree untuk saya, manakala suami, Shart Raj, 28, memilih jeepa.

“Setiap tahun kami akan pulang ke Kuala Krai untuk sambut Deepavali bersama keluarga, tapi tahun ini saya belum pasti boleh bercuti atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Thivya berkata, suasana Deepavali menjadi lebih bermakna apabila seluruh ahli keluarga dapat berkumpul dan saling bermaaf-maafan.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada seluruh keluarga terutama ayah saya, I Wisvanathan, dan memohon maaf jika ada salah dan silap,” katanya.

Bagaimanapun, bagi seorang pemandu e-hailing merangkap wakil kaum India bagi Penghulu Tanpa Mukim, Thanaletchumi, 47, dari Kota Bharu, sambutan Deepavali tahun ini bertukar menjadi suram kerana keluarganya masih berkabung atas pemergian ibu mentuanya.

“Tahun lalu suasananya sangat meriah sebab semua adik-beradik pulang dari Kuala Lumpur, kami masak gulai kambing, gulai ayam serta sediakan adunan tosai dan putu mayam untuk hidangan pagi Deepavali,” katanya.

Menurutnya, setiap pagi Deepavali, mereka sekeluarga akan ke kuil untuk bersembahyang sebelum pulang bagi menjamu tetamu dengan hidangan seperti tosai, putu mayam dan nasi minyak.

Katanya, meskipun Deepavali merupakan perayaan masyarakat India, kemeriahannya turut dikongsi bersama rakan Melayu dan Cina.

“Setiap kali pelita dinyalakan, ia menjadi lambang cahaya harapan dan semangat baharu buat kami sekeluarga,” ujarnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here