Home Sukan IRAQ MUSNAHKAN IMPIAN INDONESIA KE PIALA DUNIA

IRAQ MUSNAHKAN IMPIAN INDONESIA KE PIALA DUNIA

412
0

JEDDAH, Arab Saudi: Jaringan tunggal Zidane Iqbal memastikan Iraq menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia, sekali gus mengekalkan harapan mereka untuk layak ke kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak 1986.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, bekas pemain tengah Manchester United itu, yang kini beraksi bersama Utrecht di liga Belanda, menjaringkan gol kemenangan 14 minit sebelum tamat selepas dimasukkan pada awal babak kedua skuad bimbingan Graham Arnold.

Kemenangan itu membolehkan Iraq menempah pertemuan penentuan dengan Arab Saudi Selasa ini, dengan pemenang perlawanan itu akan mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan tewas akan meneruskan perjuangan ke pusingan play-off.

Indonesia pula tersingkir selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut.

“Kami sedar perlawanan ini sukar dengan cuaca yang panas, tetapi kemenangan 1-0 ini memberi keyakinan besar kepada kami,” kata Iqbal.

“Menentang Arab Saudi nanti pasti getir, tetapi kami yakin mampu menang.”

Indonesia bermula lebih garang apabila Kevin Diks hampir membuka jaringan menerusi tandukan awal, diikuti percubaan jarak jauh Thom Haye yang sedikit tersasar.

Penyerang muda Mauro Zijlstra pula hampir mencipta jaringan sulung antarabangsa tetapi percubaannya dinafikan terjahan tepat pertahanan Iraq, Manaf Younis ketika dia hampir menyudahkan hantaran Haye di depan gawang.

Iraq hanya benar-benar menguji benteng Indonesia pada minit ke-29 menerusi tandukan Sherko Karim yang tinggi melepasi palang, manakala anak buah Patrick Kluivert menguasai babak pertama dengan baik tetapi gagal menjaringkan gol.

Kesilapan besar pertahanan Rizky Ridho pada minit ke-76 akhirnya membawa padah apabila bola yang dirampas dimanfaatkan Iqbal untuk melepaskan rembatan leret ke penjuru bawah gawang dari luar kotak penalti.

Suasana tegang tercetus menjelang wisel penamat apabila penyokong Indonesia melemparkan botol air minuman ke tengah padang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil China, Ma Ning.

Kapten Indonesia, Jay Idzes bertindak menenangkan keadaan.

Iraq menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Zaid Tahseen dilayangkan kad merah pada masa kecederaan, namun tetap berjaya mengekalkan kelebihan dan menghampiri tiket ke Piala Dunia bersama pasukan gergasi Asia – Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Uzbekistan dan Jordan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here