Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan Kajian Pembangunan Pelan Induk Sektor Perdagangan Pengedaran atau Distributive Trade Master Plan (DTMP 2025-2035) bagi memperkukuh daya saing industri, khususnya sektor makanan dan minuman (F&B) melalui peningkatan kecekapan operasi serta adaptasi digitalisasi.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, empat komponen utama DTMP iaitu pendigitalan, automasi, pengukuhan rantaian bekalan dan keterangkuman amat relevan dengan industri restoran kerana ia berkait rapat dengan cara operasi, pengurusan serta penyertaan restoran dalam ekosistem perdagangan masa depan.
“Melalui pelan ini, kita berharap dapat mentransformasi sektor restoran kepada model perniagaan yang digital, cekap, berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan keutamaan KPDN dalam memperkukuh sektor perdagangan pengedaran,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Kali Ke-21.
Hadir sama Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Dr. Fuziah menjelaskan, pendigitalan dan automasi akan menggantikan atau menyokong kerja manual dengan sistem automatik bagi mempercepat serta menambah kecekapan operasi perniagaan.
“Ini dapat dilihat melalui kaedah pesanan dan pembayaran digital seperti penggunaan kod QR dan e-wallet serta penggunaan pemasaran digital seperti aplikasi penghantaran makanan dan promosi berasaskan data pelanggan,”katanya.
Beliau turut memuji komitmen PRESMA yang mewakili lebih 3,500 pengusaha restoran, katering dan kedai makanan Islam di seluruh negara kerana aktif menyertai pelbagai program anjuran KPDN seperti Menu Rahmah dan Kempen JOM Kosong.
Dalam pada itu beliau menjelaskan pengusaha restoran Muslim kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan tenaga kerja, kurang kesedaran terhadap teknologi baharu serta persaingan sengit dalam industri.
“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberikan sedikit kelegaan kepada pengusaha makanan dengan membenarkan pengusaha restoran India Muslim memohon kuota penggantian pekerja asing secara case by case basis.
“Saya dimaklumkan KPDN melalui Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) sudah mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk PRESMA bagi membantu pengusaha restoran mendapatkan kuota penggantian pekerja asing,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi SPIP di talian hotline 03-8882 5881/5905 atau melalui e-mel spip@kpdn.gov.my.
IMedikel TV






