Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Lebih 10 juta rakyat Malaysia kini menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah inisiatif subsidi bersasar BUDI95, sejak pelaksanaannya pada 27 September lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan semalam memaklumkan jumlah itu mewakili 62.5 peratus daripada 16 juta rakyat yang layak, dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM727.7 juta atau 365.7 juta liter petrol bersubsidi setakat jam 4 petang, semalam.
“Pelaksanaan BUDI95 yang diperkenalkan secara berperingkat bermula 27 September kepada anggota polis dan tentera, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (28 September) dan seterusnya kepada seluruh rakyat layak (30 September) menunjukkan penerimaan amat menggalakkan, dengan purata lebih 3 juta transaksi sehari pada hujung minggu,”menurut kenyataan itu.
MOF berkata, perkembangan ini membuktikan rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberi manfaat nyata.
“Selain itu, sistem digital pengesahan MyKad di stesen minyak juga berfungsi dengan lancar dan stabil, menandakan kejayaan pelaksanaan mekanisma digital dalam program BUDI95.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,”jelas kenyataan itu.
MOF bersama agensi berkaitan akan terus memantau dan menambahbaik pelaksanaan BUD195 dan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal ini turut dilengkapi ciri semakan rekod transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.
IMedikel TV






