Home Sukan ENGLAND, PORTUGAL HAMPIR SAH KE PIALA DUNIA 2026

ENGLAND, PORTUGAL HAMPIR SAH KE PIALA DUNIA 2026

470
0

PARIS: England dan Portugal kini berada di landasan terbaik untuk menjuarai kumpulan masing-masing dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan baki dua perlawanan, manakala beberapa pasukan Eropah lain turut berpeluang menempah tiket ke pusingan akhir dalam aksi seterusnya.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Norway juga hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk layak ke kejohanan itu buat kali pertama sejak 1998 yang sekali gus bakal menyaksikan Itali berdepan kemungkinan terlepas tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.

Skuad kendalian Thomas Tuchel menunjukkan taring bulan lalu apabila membelasah Serbia 5-0 di Belgrade dan masih belum dibolosi dalam lima perlawanan kelayakan setakat ini.

England tidak akan beraksi dalam Kumpulan K sehingga Selasa depan, namun kemenangan ke atas Latvia di Riga sudah memadai untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun depan dengan syarat Serbia gagal menewaskan Albania pada Sabtu.

England kini mendahului tujuh mata ke atas Albania dengan baki tiga perlawanan, manakala Serbia ketinggalan satu mata tetapi memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Menariknya, beberapa pemain yang sebelum ini bukan pilihan utama tampil cemerlang ketika menentang Serbia, sekali gus menyebabkan Tuchel mengetepikan nama besar seperti Jude Bellingham, Phil Foden dan Jack Grealish daripada skuad terbaharunya.

“Teruskan berjuang. Keputusan kali ini dibuat berdasarkan prestasi kem latihan lalu.

“Dari segi semangat berpasukan dan kerja sepasukan, ia adalah kem terbaik setakat ini. Kami mahu mengekalkan momentum yang dibina,” kata Tuchel yang bakal menguji skuadnya menentang Wales dalam aksi persahabatan esok ini.

Pertemuan Serbia dan Albania dijangka menjadi penentu pasukan mana yang bakal menamatkan saingan di tempat kedua dan mara ke pusingan play-off.

Sementara itu, Portugal yang meledak lapan gol dalam dua aksi pembukaan kelayakan September lalu, hanya memerlukan dua lagi kemenangan pada jendela antarabangsa kali ini untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan F.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu akan layak sekiranya menewaskan Republik Ireland pada Sabtu dan Hungary pada Selasa kecuali Armenia mengejutkan kedua-dua pasukan berkenaan.

Cristiano Ronaldo, yang menjaringkan tiga gol pada September termasuk satu dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Hungary di Budapest hasil penalti lewat oleh Joao Cancelo, kini mengintai penampilan ketujuh berturut-turut di pentas Piala Dunia.

Norway pula berada di ambang kejayaan selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut dengan 24 jaringan. Penyerang sensasi Erling Haaland, yang masih belum beraksi di kejohanan utama, sudah mengumpul sembilan gol, termasuk lima gol dalam kemenangan besar 11-1 ke atas Moldova baru-baru ini. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here