Home Buletin Semasa MASYARAKAT BERI SOKONGAN PENUH SOLIDARITI 23 AKTIVIS MALAYSIA DALAM MISI GLOBAL SUMUD...

MASYARAKAT BERI SOKONGAN PENUH SOLIDARITI 23 AKTIVIS MALAYSIA DALAM MISI GLOBAL SUMUD FLOTILLA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penyertaan 23 aktivis kemanusian Malaysia termasuk artis dan pempengaruh dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Kru IMendikel TV menemui beberapa orang awam bagi mendapatkan komen dan juga pendapat berkenaan penyertaan aktivis dalam misi GSF itu.

Ada yang memberi kritikan hebat berkenaan penyertaan peserta wanita dalam misi tersebut malah ada juga yang menyokong dan menganggap langkah berani itu sebagai lambang solidariti dan kemanusiaan sejagat.

Setiap induividu mempunyai peranan tersendiri dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin sama ada berada di kapal misi atau berjuang dari tanah air melalui doa, sumbangan dan kesedaran masyarakat.

Bagi Nor Haniza Daros, 50, kehadiran aktivis wanita dalam misi GSF itu wajar dipuji kerana mampu menyentuh hati ramai, khususnya apabila mereka yang menyertai misi itu mempunyai pengaruh besar di media sosial.

“Setiap orang kemampuan dia tidak sama. Ada yang boleh pergi ke sana, ada yang hanya mampu berdoa atau boikot barangan Israel.

“Tetapi kalau yang pergi itu pempengaruh yang pengikutnya lebih ramai masyarakat akan sedar tentang perjuangan mereka.

“Jadi saya setuju sangat kalau perempuan pun ikut, sebab kita yang tidak mampu ini membantu dari jauh,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pandangan sama dikongsi Azman Mohamad, 50, yang berpendapat penyertaan aktivis wanita tidak seharusnya dijadikan isu kerana perjuangan kemanusiaan tidak mengenal jantina.

“Saya sokong dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan. Tidak salah sama ada lelaki atau wanita yang pergi. Yang penting mereka mampu dan sanggup pergi.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah jalankan tanggungjawab yang sepatutnya umat Islam lakukan.

“Kita yang tidak mampu ini cuma boleh bagi sokongan dan berdoa. Kalau suami sudah izinkan, tidak ada masalah,”katanya.

Menurut Azman mereka yang menyertai misi tersebut sudah menjangkakan apa yang bakal berlaku kepada mereka dan merakamkan terima kasih kepada aktivis berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyertai misi tersebut. Mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam,”katanya.

Bagi Muhammad Shahrul Muhammad, 20, kehadiran aktivis wanita dalam misi itu membawa erti besar kerana mereka boleh membantu golongan wanita dan kanak-kanak di Gaza.

“Saya sangat setuju mereka ikut. Di sana nanti, mereka boleh peluk anak-anak Gaza, boleh bantu rawat wanita yang cedera.

“Terima kasih kepada yang menyokong Palestin. Saya sendiri tidak mampu hendak ke sana, jadi saya doa dan mereka yang mempunyai rezeki lebih boleh menyumbang ikut kemampuan. Itu pun dah satu bentuk perjuangan,”katanya.

Kesemua responden sepakat menganggap keberanian 23 aktivis Malaysia itu wajar dicontohi, malah menjadi penggerak kesedaran kepada rakyat agar terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here