Home Buletin Semasa PENGUSAHA BOT DI KELANTAN HARAP KERAJAAN PERLUAS SUBSIDI BUDI95

PENGUSAHA BOT DI KELANTAN HARAP KERAJAAN PERLUAS SUBSIDI BUDI95

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Para pengusaha bot di negeri ini turut berharap Kerajaan dapat memperluas pemberian subsidi petrol melalui inisiatif BUDI95 kepada mereka bagi meringankan beban kos operasi harian yang semakin meningkat.

Tinjauan kru IMedikel TV di Pantai Kubang Golok mendapati, rata-rata pengusaha bot dan nelayan kecil mengakui harga minyak memberi kesan besar terhadap pendapatan mereka, terutama ketika hasil tangkapan tidak menentu.

Seorang pengusaha bot, Azhar Mamat, 57, dari Kampung Kubang Golok berkata, minyak petrol kini menjadi antara perbelanjaan utama setiap kali mereka turun ke laut.

“Kos minyak bergantung kepada jenis enjin bot, kalau enjin besar, biasanya kita perlukan sekitar RM80 sehari, manakala bagi enjin kecil pula kira-kira RM40.

“Kalau harga minyak seliter lebih murah, sekurang-kurangnya kami boleh berjimat dalam operasi harian,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kawasan Pantai Kubang Golok, di sini, hari ini.

Menurut Azhar, sudah hampir 10 tahun dia bergelar nelayan dan hasil laut kini menjadi sumber pendapatan utama keluarganya.

Tambahnya, masalah pukat yang kerap terkoyak akibat sampah di laut turut menambah beban apabila mereka perlu mengganti pukat baharu berharga sekitar RM60 setiap kali rosak.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohd Zul Shamsudin, 57, dari kampung sama berkata, kebanyakan nelayan tidak mempunyai lesen memandu, namun dia berharap golongan itu turut diberi peluang menikmati subsidi BUDI95 bagi meringankan beban kos mereka.

Mohd Zul yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tersebut berkata, meskipun sudah lama bergelumang dengan laut, cabaran kini semakin terasa apabila kos minyak dan peralatan meningkat, manakala hasil tangkapan tidak menentu.

“Kalau kami dapat subsidi itu, sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan ekonomi, terutama pada musim tengkujuh bila nelayan tidak disarankan turun ke laut, waktu tu, pendapatan memang terjejas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan menambah kuota subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing, p-hailing, teksi dan pengusaha bot nelayan di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan Semenanjung.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here