Home Buletin Semasa SERAMAI 650 PESAKIT KANSER PAYUDARA BERDAFTAR DENGAN YKKK

SERAMAI 650 PESAKIT KANSER PAYUDARA BERDAFTAR DENGAN YKKK

288
0

Oleh: Nur Athirah Azman@athirah-imedikel-tv

BACHOK: Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) merekodkan seramai 650 pesakit kanser payudara yang berdaftar sejak lima tahun lalu.

Pengerusi merangkap Pengasas YKKK, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata bagaimanapun hanya 280 sahaja pesakit yang aktif dengan Kelab Kanser Payudara Kelantan (KEDARA).

“Di Malaysia, kita dapati hampir 50 peratus pesakit yang dikesan mengalami penyakit kanser payudara pada tahap tiga dan empat manakala hanya 30 peratus sahaja dikesan pada tahap satu dan dua.

“Kita tidak ingin perkara sebegini berlaku, sebab itu kita akan perketatkan lagi kesedaran kanser dalam kalangan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pink Walk 2025 di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Program Pink Walk edisi kelapan itu dirasmikan Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Pengasas Yayasan Noor Al Syakur-YANAS.

Menurut Dr Imi Sairi, pihaknya turut meletakkan dua jururawat bagi mempercepatkan proses saringan, diagnosis dan rawatan menerusi Pink Ribbon Centre yang ditubuhkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Katanya, pesakit boleh hadir secara `walk in’ dan tidak perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama.

“Setakat ini, Pink Ribbon Centre berjaya mencapai kadar sifar pesakit ponteng janji temu (defaulters) hasil usaha jururawat komuniti dan klinikal yang dilantik untuk menjejak pesakit bagi memastikan mereka menerima rawatan tepat pada masanya.

“Tidak ada seorang pesakit pun yang tidak dapat datang ke Pink Ribbon Centre klinik untuk mendapatkan rawatan selepas adanya dua jururawat berkenaan,” katanya.

Pink Ribbon Centre yang ditubuhkan adalah hasil kolaborasi bersama Cancer Research Malaysia (CRMy) yang bergabung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memantau rawatan pesakit kanser payudara daripada pengesanan awal kanser, diagnosis serta rawatan selanjutnya.

Katanya, pesakit yang tidak dapat hadir kini mempunyai tawaran bantuan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan ulang-alik ke hospital.

Dalam pada itu, Dr Imi Sairi turut menasihatkan golongan wanita supaya melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) setiap bulan dan mamogram secara berkala kerana pengesanan awal mampu meningkatkan peluang rawatan berkesan.
 
IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here