Home Sukan LIVERPOOL ‘TERPEDAYA’ DENGAN YILMAZ – SLOT

LIVERPOOL ‘TERPEDAYA’ DENGAN YILMAZ – SLOT

ISTANBUL: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya ‘diperdaya’ oleh Galatasaray selepas tewas dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Istanbul – malam yang turut menyaksikan Alisson Becker dan Hugo Ekitike mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Victor Osimhen menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-16 untuk tuan rumah yang menurut Slot, ‘berjuang habis-habisan’ untuk mempertahankan kelebihan mereka selepas itu.

Kekalahan ini menyaksikan Liverpool tewas dua perlawanan berturut-turut selepas kekalahan di tangan Crystal Palace pada Sabtu lalu.

Mereka dijangka berkunjung ke Chelsea tanpa penjaga gol utama, Alisson, hujung minggu ini.

Slot menjelaskan insiden yang membawa kepada penalti Galatasaray ‘(pemain sayap Galatasaray, Baris Yilmaz) rasa ada sedikit sentuhan di mukanya, dia jatuh. Kami kadang-kadang terperdaya dalam situasi seperti ini.

“Saya tidak boleh menyalahkan Dom (Szoboszlai) dalam situasi begini. Mereka berjaya menjadikan penalti 20 peratus itu kepada 100 peratus dan itu sangat bijak daripada pihak mereka.”

Slot turut berkata ‘ia mengecewakan kerana anda bermain bola sepak untuk menang dan itu yang gagal kami lakukan malam ini

“Namun kekalahan ini berbeza daripada kekalahan kepada Palace kerana ada banyak perkara yang saya suka terutamanya pada separuh masa pertama.

“Pada separuh masa kedua, ia semakin sukar untuk kami mencipta peluang kerana mereka berjuang bermati-matian dan kita harus memberi pujian kepada mereka.

“Bola hampir tidak berada dalam permainan sepanjang babak kedua.”

Bekas kapten Manchester City, Ilkay Gundogan memuji persembahan pasukannya.

“Ia sangat istimewa terutamanya selepas kami kalah teruk dalam perlawanan pertama kempen Liga Juara-Juara kami.”

“Menentang pasukan sehebat Liverpool, kami tahu ia akan sangat sukar dan kami memerlukan persembahan berpasukan yang istimewa serta mengambil peluang yang ada.

“Dan itulah yang kami lakukan.” – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here