Home Hiburan 40 ARTIS VETERAN TERUJA JELAJAH PANTAI TIMUR

40 ARTIS VETERAN TERUJA JELAJAH PANTAI TIMUR

KOTA BHARU: Seramai 40 artis veteran tanah air diraikan dalam program Jelajah Santai Artis Seni Kreatif ke Kelantan dan Terengganu, sebagai usaha memperkukuh silaturahim, selain menghargai jasa mereka dalam dunia seni.

Memetik laporan  menerusi Berita Harian perjalanan selama tiga hari bermula 26 September lalu dan berakhir kelmarin itu menjelajah dua negeri Pantai Timur sebagai simbol usaha memperkukuh hubungan sesama artis, selain menghargai seni kreatif yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Antara artis veteran menyertai ialah Sabree Fadzil, Mubarak Majid, Mior Hashim Manap, Mohamad Zaini Hassan, Datin Fadilah Mansor, Kismah Johar, Norlia Ghani, Margaret Ghan (Aisyah), S. Mariam dan Zalifah Ibrahim.

Menurut penyelaras program, Datuk Zulkifli M Osman, jelajah santai itu juga berperanan sebagai wadah mengeratkan hubungan sesama artis yang jarang berjumpa, malah ada yang dianggap ‘hilang dari radar’ umum.

“Program ini adalah untuk meraikan artis veteran kerana apabila lama tidak muncul di khalayak, mereka semakin dilupakan, apatah lagi ada yang sudah uzur atau sakit.

“Pengisian program tidak hanya mengunjungi tempat menarik, tetapi turut mendekati pemimpin negeri serta menyertai Karnival Cakna Rakyat di Jelawat, Bachok untuk beramah mesra dengan peminat.

“Diharapkan program ini dapat memberi pengalaman bermakna buat semua yang terbabit, selain menjadi platform mengangkat seni kreatif tanah air agar terus dihargai,” katanya ditemui pada majlis makan malam di sebuah premis acara di sini, baru-baru ini.

Program jelajah santai itu dianjurkan Ecco Studio Production dan AH Marketing dengan kerjasama Bonda Aura69 serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sepanjang tiga hari, peserta dibawa berkunjung ke beberapa destinasi menarik di dua negeri, antaranya Pasar Kedai Payang dan kebun bunga di Terengganu selain ladang kambing biri-biri, Pantai Kemasin dan Pasar Siti Khadijah di Kelantan.

Pelakon veteran, Sabree Fadzil, mengakui program jelajah santai itu sangat mengujakan kerana sudah lama tidak bertemu rakan seangkatan akibat komitmen serta kesibukan masing-masing.

“Apabila usia semakin lanjut dan tidak lagi aktif dalam bidang seni, masing-masing terus menyepi. Ada juga yang sudah bertahun-tahun tidak berhubung.

“Jadi, apabila ada program sebegini, memang teruja untuk berjumpa semula rakan artis, termasuk orang ramai. Alhamdulillah, walaupun ada yang sudah melupakan kami, masih ramai peminat mengenali,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here