Home Buletin Semasa UNDANG-UNDANG ROGOL SUKA SAMA SUKA BAWAH UMUR WAJAR DIPINDA – EXCO KELANTAN

UNDANG-UNDANG ROGOL SUKA SAMA SUKA BAWAH UMUR WAJAR DIPINDA – EXCO KELANTAN

449
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Undang-undang sedia ada berhubung kes rogol bawah umur atas dasar suka sama suka wajar dipinda agar lebih adil serta menepati prinsip keadilan Islam, tegas Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat baru-baru ini berkaitan kes hubungan seksual bawah umur dengan kerelaan atau suka sama suka supaya tindakan tidak hanya ke atas pelaku sahaja, sebaliknya turut dikenakan terhadap pasangan mereka.

“Cadangan tersebut bertepatan dengan hukum dan juga keadilan Islam. Pendedahan beliau menunjukkan 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku adalah membabitkan hubungan seks atas dasar suka sama suka, sekali gus membuktikan wujudnya kes zina antara lelaki dan remaja perempuan di bawah umur.

“Namun, undang-undang sedia ada hanya membolehkan pesalah lelaki didakwa atas kesalahan rogol di bawah umur,” katanya dalam perkongsian di laman sosial, semalam.

Menurut Mohd Asri, undang-undang jenayah Islam secara jelas menetapkan zina, iaitu persetubuhan haram tanpa ikatan perkahwinan sah, sebagai perbuatan keji dan merupakan jenayah besar.

Oleh itu, beliau menegaskan keperluan menyemak semula undang-undang yang hanya menghukum lelaki semata-mata.

“Dari sudut keadilan Islam, kedua-dua pesalah zina perlu dihukum. Maka, cadangan agar remaja perempuan dalam kes zina suka sama suka turut dikenakan hukuman adalah selari dengan prinsip keadilan Islam,”katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan perlindungan terhadap remaja perempuan tetap perlu diberi keutamaan, khususnya daripada sebarang manipulasi atau eksploitasi seksual (sexual grooming) yang boleh menyebabkan mereka memberikan persetujuan tanpa sedar.

“Undang-undang berhubung rogol bawah umur perlu diteliti dengan mengambil kira elemen suka sama suka tanpa sebarang manipulasi atau pengantunan seksual,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mohd Asri yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan berkata, usaha mencegah gejala zina tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman semata-mata.

“PAS Kelantan berpandangan bahawa langkah seperti kaunseling, nasihat, hukuman takzir dan pendekatan restoratif wajar dijadikan pelengkap dalam menangani masalah sosial ini,”katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah turut memperuntukkan kesalahan zina, mukadimah zina, ikhtilat dan khalwat dengan denda minima, selaras dengan kuasa terhad di bawah Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Kaunseling dan nasihat oleh penguat kuasa agama perlu dilihat sebagai usaha berterusan untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan agar segera mempertimbangkan pindaan undang-undang yang lebih berkesan dan adil demi membendung isu seks suka sama suka dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here