SEOUL: Polis Korea Selatan menahan seorang lelaki berusia 50-an pada Selasa lalu kerana membuat hampir 60,000 laporan palsu kepada polis dalam tempoh kurang dua tahun, lapor The Korea Herald.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, daripada 58,307 panggilan yang dibuat suspek kepada polis, 51 daripadanya dikategorikan sebagai kod dua atau lebih tinggi yang memerlukan campur tangan polis serta-merta kerana ancaman jenayah serius.
Lelaki itu disiasat kerana menghalang tugas penjawat awam melalui cara penipuan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda 10 juta won (kira-kira RM30,000).
Dalam satu kejadian pada Mei 2024, dia menghubungi polis 1,882 kali dalam tempoh empat hari. Perbuatan itu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan penalti pentadbiran yang dikenakan ke atasnya juga atas kesalahan membuat laporan palsu kepada polis.
Laporan palsu suspek termasuk dakwaan bahawa dia akan membunuh abangnya dan satu lagi laporan bahawa dia mengurung abangnya.
Dalam kes lain, dia memberitahu polis bahawa dia ditahan tanpa kerelaannya sebelum serta-merta berkata “bukan sekarang”.
Apabila ditanya berapa lama dia dikurung, dia menjawab: “10 tahun”.
Dilaporkan bahawa dia memberitahu polis laporan palsu itu adalah tabiatnya kerana tinggal bersendirian yang mana dia akan menghubungi polis setiap kali mabuk.
Dia diperintahkan membayar denda sebanyak tujuh kali sejak 2023 membabitkan kesalahan laporan palsu.
Polis turut memohon waran tangkap untuk jenayah terbarunya selepas dia enggan mematuhi saman yang dikeluarkan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






