Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Kementerian Perdagangan Dalan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mematahkan cubaan penyelewengan petrol bersubsidi dalam satu operasi khas di sebuah stesen minyak di Kampung Batu 2, di sini pada Isnin.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya menemukan sebanyak 225 liter petrol yang disorokkan dalam tangki tambahan pada kenderaan yang diubah suai.
“Dalam serbuan kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, KPDN turut menahan seorang lelaki tempatan serta merampas empat helai resit pembelian petrol dengan anggaran jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM5,461.25,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, KPDN juga menjalankan siasatan terhadap stesen minyak terbabit kerana disyaki bersekongkol melalui penjualan berulang.
Jelasnya, barangan yang dirampas termasuk salinan CSA, PDA, SSM, PBT, buku stok serta salinan rakaman litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
Kedua-dua kes berkenaan akan disiasat secara berasingan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, serta Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar arahan pengawal.
IMedikel TV






