Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Penyanyi, Zizi Kirana memohon rakyat Malaysia terus mendoakan keselamatan dirinya serta semua sukarelawan yang menyertai misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas kapal yang dinaiki dilaporkan berdepan ancaman dron dan letupan.
Dalam perkongsian video di media sosial, Zizi memaklumkan kapal yang dinaikinya, Huga, kini berada dalam keadaan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Seperti yang anda tahu, GSF (Global Sumud Flotilla) dah umumkan bahawa kapal-kapal flotilla ini didatangi lebih kurang 15 dron dan ada berlaku letupan seperti sejenis ‘gunpowder’. Saya sendiri mendengar bunyi itu,”katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak putus berdoa dan terus menyebarkan maklumat mengenai misi flotilla tersebut.
“Kita nak menuju ke Gaza, kita nak bantu saudara kita insya-Allah. Doakan kami semua,”katanya
Misi flotilla antarabangsa itu membawa bekalan bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Antara bantuan akan dibawa termasuk makanan, ubatan, susu serta barangan asas lain diperlukan penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kebuluran.
IMedikel TV






