MARSEILLE: Paris Saint Germain (PSG) menerima tamparan hebat apabila tumbang 0-1 kepada musuh tradisi Olympique de Marseille dalam aksi tertunda Le Classique Ligue 1 di Stade Velodrome awal pagi tadi, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah juara bertahan itu musim ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, gol tunggal perlawanan hadir seawal minit kelima menerusi tandukan Nayef Aguerd yang menyambut hantaran silang Mason Greenwood. Kesilapan penjaga gol PSG, Lucas Chevalier, yang tersalah jangka bola memberi ruang kepada Aguerd menanduk masuk ke gawang pelawat.
Perlawanan yang sepatutnya berlangsung sehari sebelumnya terpaksa ditunda akibat hujan lebat dan ribut, namun tuan rumah tampil lebih bertenaga di depan penyokong sendiri untuk mencipta kemenangan liga pertama ke atas PSG di laman sendiri sejak 2011.
PSG yang sebelum ini mencatat lima kemenangan berturut-turut berusaha keras mencari gol penyamaan, namun ketumpulan jentera serangan dan ketangkasan penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli, menafikan segala percubaan.
Antara detik terbaik PSG ialah rembatan padu Achraf Hakimi yang diselamatkan Rulli, manakala Goncalo Ramos pula mensia-siakan peluang keemasan apabila tandukannya sedikit tersasar selepas rehat.
Kekalahan ini menyaksikan PSG kekal dengan 12 mata dan terpaksa melepaskan takhta liga kepada AS Monaco yang memiliki jumlah mata sama tetapi kelebihan jaringan.
Sementara itu, kemenangan bermakna ini melonjakkan Marseille – naib juara musim lalu – ke tangga keenam liga dengan mengumpul sembilan mata setakat ini.
Le Classique kali ini bukan sahaja sarat dengan emosi, malah membuktikan Marseille masih menjadi ancaman besar dalam perebutan kejuaraan Ligue 1 musim ini. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






