Home Buletin Semasa WARISAN SONGKET: CHE ROHANI TERUSKAN LEGASI IBU, PENENUN TERKENAL KELANTAN

WARISAN SONGKET: CHE ROHANI TERUSKAN LEGASI IBU, PENENUN TERKENAL KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Songket adalah warisan seni tenunan halus yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu sejak turun temurun.

Di sebalik keindahan benang sutera dan kapas yang bersulam di kain songket, tersimpan kisah tangan seni yang sabar dan tekun.

Kru IMedikel TV berpeluang menemubual seorang penenun songket warga emas yang masih setia mengekalkan tradisi itu meskipun usianya semakin lanjut.

Bagi Che Rohani Che Mood, 65, setiap helai songket yang dihasilkannya bukan sekadar kain, sebaliknya sebahagian daripada legasi arwah ibunya, penenun tersohor Kelantan, Nik Sapiah Abdul Rahman, yang lebih 50 tahun berada dalam bidang seni itu.

“Saya membesar dengan melihat ibu menenun hampir setiap hari. Sebelum ibu meninggal dunia, saya sudah ambil alih bidang ini.

“Sejak 20 tahun lalu saya menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang tenunan, bermula hanya sekadar melihat sampai boleh menenun sendiri,”katanya ketika ditemui di Festival Tekstil&Warisan Melayu Kelantan 2025, di Istana Balai Besar, di sini, baru-baru ini.

Beliau mengakui proses menenun songket sangat kompleks dan memerlukan ketelitian.

Menurut Che Rohani, pemilihan benang adalah langkah paling penting bagi memastikan kualiti kain.

Lazimnya, beliau mendapatkan benang kapas atau sutera daripada pembekal di Terengganu.

“Proses itu dimulakan dengan persediaan benang seperti melerai, menganing serta menggulung di papan gulung.

“Kita akan masukkan benang seurat demi seurat di gigi kek tenun. Selepas itu baru kitab oleh buat corak yang kita inginkan,”katanya.

Jelasnya setiap helai benang turut diperiksa dan dikira bagi memastikan corak yang dihasilkan nanti kemas dan tepat.

Menurutnya sehelai songket boleh mengambil masa antara dua minggu hingga dua bulan untuk disiapkan bergantung kepada kerumitan corak dan masa yang dapat diperuntukkan.

“Ada pelanggan yang mahu corak khas seperti pucuk rebung, bunga cermai, bunga tabur.

“Biasanya saya akan melakar di atas kertas terlebih dahulu sebelum dijadikan panduan semasa menenun,” katanya.

Katanya kerumitan inilah yang menjadikan songket tenunan Che Rohani bernilai tinggi, dijual antara RM800 hingga RM2,000 sehelai.

Beliau berbangga dengan mutu tenunan Kelantan yang menurutnya mempunyai kehalusan tersendiri berbanding negeri lain.

“Kalau di Kelantan hujung tepi tu halus berbanding songket Terengganu,”jelasnya.

Menurut beliau, permintaan songket agak tinggi termasuk tempahan khas untuk Tuanku Sultan Muhammad IV.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here