TOKYO: Sorakan kuat di Stadium Nasional Tokyo berjaya menebus prestasi hambar Jepun pada Kejohanan Dunia Olahraga di laman sendiri, empat tahun selepas Olimpik Tokyo terpaksa berlangsung tanpa penonton akibat pandemik Covid-19.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, setakat menjelang hari terakhir kejohanan, Jepun hanya meraih dua pingat gangsa menerusi acara jalan kaki lelaki dan wanita.
Walaupun tidak diletakkan harapan besar, prestasi hambar itu menyaksikan Jepun sekadar berada di tangga ke-36 dalam carta pingat, di belakang negara kecil seperti Grenada dan Latvia.
Namun suasana dalam stadium berjaya mengubah kekecewaan itu, dengan kehadiran penonton hampir memenuhi tempat duduk setiap hari, seakan menebus kehilangan pengalaman sewaktu Olimpik Tokyo yang terjejas akibat Covid-19.
Kuartet pasukan 4x100m lelaki Jepun, Hiroki Yanagita yang layak ke final menyifatkan pengalaman berlari di hadapan hampir 60,000 penyokong yang bersorak sebagai ‘mengujakan’.
“Ramai yang kata bunyi bising dalam stadium seperti gempa bumi dan hari ini saya sendiri akhirnya merasainya.
“Ia sungguh hebat apabila mendengar sorakan itu ketika saya berlari dan ia membuatkan saya mampu beraksi lebih daripada kemampuan sebenar,” katanya.
Suasana kali ini ternyata berbeza dengan Olimpik Tokyo, yang ditunda setahun akibat pandemik.
Sensasi Sweden, Armand Duplantis sebelum ini menggambarkan suasana suram Olimpik Tokyo dengan kerusi kosong sebagai ‘seperti kiamat’, manakala pelari pecut AS, Noah Lyles pula berkata, dia boleh mendengar ‘fikirannya sendiri bergema di dinding stadium’.
Tiada masalah sedemikian di kejohanan dunia kali ini, dengan penganjur mengumumkan jumlah kehadiran melebihi setengah juta menjelang hari terakhir. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






