Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes khianat membabitkan sebuah kedai makan di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun Facebook “Imran Bard” semalam yang menunjukkan seorang individu memecahkan cermin almari makanan sebuah kedai menggunakan topi keledar.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada 15 September kira-kira jam 7.19 malam itu berpunca daripada suspek tidak berpuas hati kerana kenderaan milik pengadu berusia 25 tahun menghalang laluannya.
“Suspek kemudian bertindak merosakkan harta kedai makan berkenaan, bagaimanapun tangkapan terhadap suspek dilakukan pada jam 1 pagi, hari ini oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini dan direman selama empat hari bermula 18 hingga 21 September depan manakala siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 15:11 itu tular sejak semalam.
IMedikel TV






