LONDON: Liverpool kini menjadi pilihan utama untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mempertahankan gelaran musim ini, tetapi mereka dijangka bakal menghadapi saingan sengit daripada tiga pencabar lain, menurut satu kajian baharu.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Arne Slot menjulang trofi EPL musim 2024/25 dengan cemerlang apabila menamatkan saingan 10 mata di hadapan Arsenal pada musim sulungnya sebagai pengurus Reds.
Pasukannya turut memulakan musim baharu ini dengan sempurna apabila mendahului carta liga selepas tiga perlawanan dengan kemenangan ke atas Bournemouth, Newcastle dan Arsenal untuk mengumpul sembilan mata.
Mereka memerlukan jaringan lewat perlawanan untuk menewaskan Bournemouth dan Newcastle, sebelum sepakan percuma menakjubkan daripada Dominik Szoboszlai memberikan kemenangan ke atas Arsenal.
Liverpool membelanjakan £450 juta dalam jendela perpindahan musim panas untuk memperkuat skuad mereka, dengan Alexander Isak, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike menjadi antara pembelian utama di bahagian serangan.
Perbelanjaan besar ini membantu mengukuhkan status mereka sebagai pilihan utama juara, menurut CIES Football Observatory, yang memberikan mereka 28.9 peratus peluang untuk menjulang trofi sekali lagi pada Mei nanti.
Kajian itu mengambil kira pelbagai pemboleh ubah termasuk data prestasi dan aktiviti perpindahan untuk mengira kebarangkalian, sekali gus menggambarkan betapa kompetitifnya EPL musim ini.
Menurut kajian tersebut Arsenal memiliki 18.8% peluang, Chelsea 16.2% manakala Manchester City hanya 14.4% sekali gus menunjukkan kemungkinan besar bakal menyaksikan perebutan empat penjuru untuk kejuaraan.
Menariknya, Nottingham Forest berada di kedudukan kelima dalam senarai kebarangkalian juara EPL dengan 7.9%, mengatasi Newcastle (5.8%), Aston Villa (3.2%) dan Manchester United (2.6%).
Namun begitu, pengurus Liverpool Arne Slot tidak begitu yakin pasukannya akan mendapat laluan mudah.
“Sebab utama kenapa ia sangat sukar [untuk mempertahankan kejuaraan] adalah kerana terdapat terlalu banyak pesaing yang juga berkemampuan untuk menjuarai liga ini,” katanya sebelum musim bermula pada Ogos lalu.
“Untuk menang sekali pun sudah sangat istimewa, apatah lagi jika boleh menang dua kali dalam tiga, empat atau lima tahun. Kami pernah menang dua kali dalam tempoh lima tahun, dan [Manchester] City malah melakukan lebih baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jadi, kalau boleh lakukan itu dalam liga ini, ia memang luar biasa dan saya rasa musim ini akan lebih sukar berbanding musim-musim sebelumnya, kerana setiap pasukan membawa masuk pemain baharu dan pencabar utama kami juga tidak terkecuali.”
Apabila ditanya sama ada kematian Diogo Jota dan emosi yang menyelubungi kelab sejak pemergian Slot menjawab:
“Itu soalan yang saya harap anda tanya saya di akhir musim nanti, kerana sekarang memang mustahil untuk dijawab.
“Kita tak tahu apa cabaran yang bakal menanti di hadapan, dan betapa sukarnya untuk kami atau pasukan lain menjuarai liga. Jadi memang mustahil untuk beri jawapan sekarang.” – AGENSI, HMerto Online –
IMedikel TV





