Home Politik ‘DRAMA’ JATUHKAN MUHYIDDIN GAGAL

‘DRAMA’ JATUHKAN MUHYIDDIN GAGAL

Insiden kekecohan tercetus ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU pada Sabtu lalu, memberi petunjuk jelas bahawa parti itu sedang dilanda kemelut dalaman.

Lebih khusus lagi, ia membabitkan pimpinan pada peringkat akar umbinya.

Memetik laporan Berita Harian, desakan meminta Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin, supaya berundur daripada menerajui parti sendiri, menyerlah isyarat ada pihak dalaman parti itu mungkin tidak senang dengan gaya kepimpinannya.

Apatah lagi ia dilaungkan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar PAT.

Namun, dalam situasi ini, dijadikan pentas untuk segelintir perwakilan menyuarakan rasa tak puas hati mereka kepada pucuk kepimpinan.

Dipecat oleh bekas partinya iaitu UMNO pada 2015 serta kerajaan diterajuinya pada 2021 pula digulingkan oleh rakan kerjasama kepada partinya sendiri.

Namun, apa yang tercetus pada malam Sabtu lalu, sekali lagi menyentak hati dan kesabarannya. Watak tenang seorang ‘abah’, nampak begitu sugul ketika duduk di pentas utama perhimpunan.

Jelas, Ahli Parlimen Pagoh itu tak dapat lagi berselindung dari raut kekecewaannya terhadap insiden yang berlaku di depan mata sendiri. Apatah lagi ia dikait pula dengan tindak tanduk pemimpin kanan partinya sendiri.

Seperti parti lain, pergelutan politik dalam BERSATU ada pasang surutnya.

Desakan meminta Muhyiddin berundur, pada satu ketika telah meletakkan parti baru berusia sembilan tahun itu di satu persimpangan.

Sama ada mahu terus mengukuh sebagai teraju pembangkang yang stabil, atau meniti jalan perpecahan lebih dahsyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jika diamati dari awal, kemelut melanda BERSATU ini mungkin berakar dari beberapa isu yang sudah mula melingkari mereka sejak beberapa tahun yang lalu.

Terutama selepas berakhirnya PRU ke-15 pada November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah serta Pulau Pinang.

Ketegasan dan prinsip Muhyiddin untuk menolak sebarang perbincangan persefahaman dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menimbulkan resah dan rasa kurang senang dalam kalangan sebilangan kecil pemimpin akar umbinya. Terutama yang membabitkan ketua-ketua bahagian BERSATU.

Ini termasuklah soal merintis perbincangan bagi membina persefahaman parti politik di antara PN dan sesetengah parti dalam kerajaan terutama BN.

Soal peruntukan kerajaan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN, turut menjadi tuntutan dalaman yang sering berbangkit dan masih belum diselesai hingga kini.

Selain itu, peruntukan kewangan parti kepada bahagian-bahagian dan negeri, keluhan dari akar umbinya yang acapkali kedengaran, terutama dalam menggerakkan aktiviti parti serta persediaan ke arah PRU.

Disamping penyenaraian calon yang akan menyertai PRN serta PRU akan datang, menjadi percaturan yang cukup hangat diperkata dalam kalangan pemimpin akar umbinya.

Rentetan dari isu berpanjangan ini, mula bangkit gesaan dalaman yang mempersoalkan mengenai hala tuju politik BERSATU serta PN di bawah teraju Muhyiddin.

Segelintir mendakwa, tuntutan dan keluhan disampaikan mereka kepada pucuk pimpinan, tidak pernah diendahkan.

Tidak kurang sikap segelintir mereka yang bimbang bakal tidak disenarai sebagai calon dalam PRN dan PRU akan datang.

Sehinggalah akhirnya, tercetus cadangan penubuhan Majlis Eksekutif PN untuk mengangkat pemimpin tertentu dalam BERSATU, kononnya sebagai ‘nakhoda’ baharu.

Diikuti kemudiannya, pengumpulan akuan bersumpah (SD) sebagai dorongan ke arah desakan supaya peralihan kuasa Presiden BERSATU dibuat sekarang.

Kononnya, gerakan SD ini bersandar dari ‘Konsensus Gopeng’, yang dirujuk mereka sebagai satu pertemuan membabitkan pemimpin tertinggi BERSATU dalam merangka formula pemilihan parti itu akhir tahun lalu.

Namun, gerakan terancang yang didedahkan sendiri Muhyiddin serta dilabel pula oleh Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sebagai kerja cucuk-mencucuk ini, mencetuskan bantahan serta kecaman hebat dalam kalangan ahli dan pemimpin BERSATU sendiri.

Satu mesyuarat tergempar BERSATU juga dipanggil pada pagi Ahad lalu, bagi memuktamadkan mengenai insiden desakan presiden berundur.

Malah, difahamkan ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU beberapa minggu lalu juga, cadangan penubuhan Majlis Eksekutif PN sudah pun ditolak, memaksa akhirnya ia sekadar berstatus cadangan yang dibangkit dalam mesyuarat, namun gagal dijayakan.

Kemuncak pergelutan dalaman BERSATU, adalah ikrar tegas disuarakan Hamzah di hadapan lebih 2,600 perwakilan BERSATU Ahad lalu.

Ketika ucapan penggulungan PAT BERSATU 2025, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan dirinya bukan sekadar menjadi penyokong nombor satu, bahkan mempertahankan kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU.

Ketegasan Hamzah yang mahukan supaya kerja mencucuk-cucuk, menulis surat layang dihentikan, memberi peringatan tegas kepada pemimpin akar umbi khusus penyokongnya, untuk menamatkan segala bentuk gerakan serta sengketa yang boleh memecahbelahkan parti.

Usul yang diluluskan perwakilan ketika PAT iaitu untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi mewakili BERSATU, selain sokongan sepenuhnya kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai presiden parti itu, memberi isyarat jelas, gerakan mahu menjatuhkan Muhyiddin bukan hanya gagal, tapi sudah menghampiri jalannya noktahnya.

Cabaran BERSATU kini adalah mendepani fasa pemulihan dalaman, rentetan dari insiden kekecohan ini.

Seperti disebut berulang kali Muhyiddin dalam ucapan serta sidang medianya, jika BERSATU dan PN dilihat berpecah belah di khalayak rakyat umum, ia memberi signal amat buruk kepada kewibawaan mereka sebagai goverment in waiting, apatah lagi untuk memenuhi misinya menawan Putrajaya.

Kini, PN menerajui sokongan kuat pengundi Melayu.

Usaha juga sedang digembleng untuk gabungan itu menerajui pembentukan sebuah pakatan pilihan raya yang bakal disertai parti politik dari blok pembangkang, dengan fokus dan matlamatnya untuk mengukuh undi dari kalangan bukan Melayu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here