Home Sukan JOJO CABAR ESTUPINAN, PAEZ

JOJO CABAR ESTUPINAN, PAEZ

KUALA LUMPUR: Kemenangan knockout (KO) bergaya ke atas lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari, dalam masa hanya dua minit 10 saat, semalam, menjadi titik kebangkitan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo untuk memburu misi balas dendam.

Memetik laporan Harian Metro, selepas menumbangkan El Jamari dalam kategori flyweight pada kejohanan ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand semalam, atlet muda kelahiran Sarawak itu kini mengalihkan tumpuan untuk kembali membuat perhitungan dengan Johan Estupinan, lawan dari Colombia yang pernah menafikan hasratnya sebelum ini.

“Saya tidak pasti perancangan seterusnya tapi saya sangat mahu menentang Johan Estupinan sekali lagi dalam perlawanan ulangan.

“Saya juga mahu bertarung semula dengan Diego Paez, atau sesiapa sahaja sebenarnya. Siapa sahaja yang mereka letakkan di depan saya,” kata Jojo penuh bersemangat.

Jojo sebelum ini gagal meleburkan rekod tanpa kalah Estupinan apabila tewas menerusi keputusan sebulat suara selepas tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight ONE 170, Januari lalu.

Dia turut kalah tipis kepada Diego Paez pada Jun lalu, sebelum kembali bangkit dengan aksi penuh meyakinkan, semalam.

Mengulas mengenai kemenangannya, petarung berusia 18 tahun itu turut mengakui pengajaran berharga hasil latihan di Superbon Training Camp menjadi kunci kejayaan meraih KO pantas, semalam.

“Di kem Superbon, mereka selalu ajar saya supaya bersabar dan ikut perancangan, bertenang, jangan terlalu mendesak. Tetapi bila saya rasa lawan semakin lemah, saya tahu saya boleh dapatkan KO itu.

“Dan semalam saya tahu El Jamari akan datang menyerang saya, jadi saya sudah bersedia. Saya tunggu masa sesuai untuk lepaskan siku kerana saya tahu dia boleh tahan tumbukan saya, tapi tiada siapa boleh tahan siku,” jelasnya.

Kemenangan ini sekali gus menamatkan kemarau kejayaan Jojo yang kali terakhir merasai nikmat kemenangan pada Disember tahun lalu apabila menumbangkan juara WBC Mexico, Edgar Tabares, menerusi KO hanya dalam tempoh 36 saat.

Untuk rekod, Jojo sudah mengharungi 10 perlawanan profesional dengan catatan tujuh kemenangan setakat ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here