KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Issey Fazlisham menerusi syarikat produksi diasaskannya, Red Bean Productions & Agency bakal mencatat sejarah dengan pementasan teater di tapak bekas penjara, Kota Jail (dahulu Penjara Ayer Molek) di Johor Bahru, Johor.
Bagaimanapun, Issey yang memilih tema buli sebagai penceritaan utama dalam teater berjudul, Teater Dalam Penjara itu menegaskan, dia tidak berniat ‘menunggang’ isu buli yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Husin, 38, berkata projek itu bertujuan mengambil kesempatan menyebarkan kesedaran mengenai gejala buli yang semakin membimbangkan dengan cara penyampaian santai.
“Sejujurnya saya bukan hendak ‘tunggang’ isu buli ini, tetapi, memikirkan perkara ini sedang hangat diperkatakan. Kalau tidak ke depan untuk bercerita, kita akan ketinggalan.
“Saya fikir kenapa tidak untuk berkongsi mengenai isu ini sedangkan kami ada ruang yang bagus. Jika tidak dapat ruang, kami yang akan cari peluang lain.
“Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling mengingati antara satu sama lain agar sentiasa ikut undang-undang negara. Itulah tanda semangat patriotik, sayang dan cintakan negara,” katanya pada sidang media Makar Fest 2025 dan Teater Dalam Penjara di sini, baru-baru ini.
Mengenai penganjuran teater di penjara berusia 147 tahun sempena Makar Fest 2025 itu, Issey berkata, projek itu dianggap antara langkah memberi pengalaman lebih realistik kepada penonton.
“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara, iaitu di Kota Jail. Mungkin ada yang belum tahu, Kota Jail adalah penjara ketiga tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun. Premis ini pernah menempatkan ramai banduan.
“Bayangkan, kami pentaskan teater itu dalam penjara yang kini dinaik taraf sebagai tempat pelancongan yang baharu di Johor Bahru. Jadi, ini akan menjadi tarikan juga kepada penonton.
“Orang ramai yang datang ke Makar Fest 2025 dan menonton teater ini boleh merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” katanya.
Kisah banduan bakal ‘merdeka’
Pengarah Teater Dalam Penjara, Sabri Yunus, berkata idea mementaskan teater timbul selepas mendapat inspirasi dengan konsep teater jalanan di luar negara.
“Agak menarik apabila kami berbincang mengenai teater yang akan dipentaskan di bekas tapak penjara.
“Saya pernah tonton teater jalanan di luar negara, sama ada dijayakan di pinggir jalan atau dalam restoran. Ini sesuatu yang menarik, jadi kami cuma bawa konsep sama dalam pementasan kali ini.
“Apabila saya sendiri lihat bagaimana Kota Jail itu, saya fikir sekiranya teater dipentaskan di sana, kami boleh lebih dekat dengan penonton,” katanya.
Sabri yang turut tampil sebagai pelakon teater Dalam Penjara berkongsi, jalan cerita dipaparkan adalah berkisar kisah sekumpulan banduan sebelum dibebaskan. Selain itu, teater itu mahu membawa mesej kemerdekaan kepada penonton.
“Teater ini juga akan akan membabitkan penonton dalam beberapa babak ketika pementasan. Maknanya, kami gambarkan penonton sebagai sekumpulan orang yang datang untuk melawat penjara.
“Ketika itu, watak dalam teater adalah banduan yang akan dibebaskan lagi tiga bulan. Jadi, setiap banduan ini akan berkongsi pengalaman mereka kepada pelawat.
“Ini juga sesuai dengan Hari Kemerdekaan, walaupun penjara ini agak bertentangan dengan tema Merdeka. Jadi, secara tidak langsung kami akan cerita sekumpulan banduan yang akan ‘merdeka’ selepas tiga bulan,” katanya.
Teater Dalam Penjara akan dipentaskan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68 selama dua hari bermula 30 Ogos ini. Teater itu juga menampilkan pelakon seperti Ain Sufia, Ammar Titan, Angeline Tan termasuk Issey.
Kota Jail kini menjadi destinasi pelancongan baharu di Johor Bahru yang dikendalikan jenama JOHO. Bangunan yang menyimpan pelbagai cerita penghuni itu dibuka secara rasmi pada 14 Mac lalu sebagai tarikan pelancong dengan mengekalkan struktur asalnya. – BH Online –
IMedikel TV






