TEXAS: Sebuah buku dipulangkan ke Perpustakaan Awam San Antonio, Texas, Amerika Syarikat (AS) selepas hampir 82 tahun lewat dari tarikh sepatutnya ia dipulangkan.
Memetik UPI, buku itu dipinjam pada Julai 1943 dan sepatutnya dipulangkan 28 hari kemudian, namun hanya kembali ke perpustakaan apabila satu bungkusan tiba di fasiliti berkenaan pada Jun tahun ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, difahamkan, bungkusan yang dihantar dari Oregon itu mengandungi salinan buku bertajuk ‘Your Child, His Family, and Friends’ karya Frances Bruce Strain milik perpustakaan berkenaan.
Nota turut disertakan bersama bungkusan dan menjelaskan bahawa buku berkenaan ditemui dalam simpanan bapa kepada penulis surat.
Ia dipercayai dipinjam nenek penulis ketika bapanya berusia kira-kira 11 tahun, sebelum keluarga itu berpindah bagi membolehkan neneknya bekerja di Kedutaan AS di bandar Mexico.
“Dia mungkin membawa buku itu bersamanya dan selepas 82 tahun, ia akhirnya berada dalam simpanan saya,” tulis penulis surat itu.
Menerusi surat itu juga, penulis menyatakan harapan tiada denda lewat dikenakan kerana neneknya sudah tidak dapat membayarnya lagi.
Bagaimanapun, individu terbabit tidak dikenakan sebarang bayaran kerana perpustakaan itu sudah menghapuskan denda sejak 2021.
Buku berkenaan kini dipamerkan di lobi Perpustakaan Pusat San Antonio dan akan didermakan kepada Perpustakaan Awam Friends of San Antonio untuk dijual di kedai buku terpakai Book Cellar pada penghujung Ogos ini. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






