Home Buletin Semasa PROGRAM EKSPLORASI PERPADUAN HIMPUN PELBAGAI AGENSI, KUKUHKAN PERPADUAN KOMUNITI

PROGRAM EKSPLORASI PERPADUAN HIMPUN PELBAGAI AGENSI, KUKUHKAN PERPADUAN KOMUNITI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kesinambungan daripada Program MADANI Rakyat (PMR) yang diadakan baru-baru ini menjadi aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk mengadakan Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI.

Program itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan urusan rakyat, khususnya penduduk sekitar Kota Lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata program itu secara langsung memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan daripada kerajaan.

“Kadang-kadang rakyat bukan tidak mahu guna kemudahan yang ada, tetapi mereka perlukan maklumat awal yang betul sebelum buat keputusan, jadi hari ini kita dedahkan kepada mereka secara lebih telus.

“Program ini mendapat penglibatan secara langsung daripada Unit Pelarasan Pelaksanaan (ICU), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Unit Penyelaras Lonjakan Prestasi (PACU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI, di sini, pada Sabtu.

Katanya aktiviti yang disediakan sepanjang program tersebut adalah Town Hall Keselamatan, merdeka plogging Fun Run, sukan rakyat, jualan rahmah, pemeriksaan kesihatan, imunisasi dan kaunter khidmat hasil.

“Inisiatif itu adalah komitmen kerajaan untuk mendekati rakyat secara langsung di peringkat akar umbi.

“Saya berharap dengan perkhidmatan yang disediakan ini, orang ramai boleh tahu dengan lebih jelas berbanding sebelum ini hanya tahu melalui media sosial,” katanya.

Tambahnya, program tersebut berlangsung selama dua hari iaitu 15 dan 16 Ogos dan merupakan kesinambungan kepada Program MADANI Rakyat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan, Zarina Zakaria.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here