Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PERAK: Pulau Pangkor menjadi penyumbang terbesar untuk hasil pendaratan ikan bilis di Manjung, Perak iaitu sebanyak 2,844.44 tan metrik bernilai RM42.67 juta, tahun lalu.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan memaklumkan, Pulau Pangkor adalah sebagai lokasi penting dalam industri perikanan negara dengan kelebihan strategik sebagai pusat pengeluaran ikan bilis berkualiti tinggi yang menjadi penanda aras industri tersebut.
“Secara nasional, pendaratan ikan bilis spesies bilis bunga air pada tahun lalu adalah 14,589.20 tan metrik bernilai RM164.89 juta.
“Antara negeri lain yang menjadi pengeluar utama ikan bilis adalah Sabah (5,956.17 tan metrik), Kedah (1,818.98 tan metrik), Perak (2,852.91 tan metrik) dan Kelantan (992.65 tan metrik),” jelas kenyataan itu pada Sabtu.
DOF turut memaklumkan Pulau Pangkor mempunyai 694 vesel berdaftar yang beroperasi di pelbagai zon termasuk Zon A (462 vesel, Zon B (44 vesel), Zon C (168 vesel) dan Zon C2 (20 vesel).
Selain ikan bilis, DOF juga mencatatkan 10 spesies ikan lain yang didaratkan di Manjung Selatan termasuk Pelaling, Tongkol, Tamban Sisek, Selayang, Bilis, Kembong, Cincaru, Selar, Udang Putih dan Sotong Biasa.
“DOF akan memastikan sumber ini diurus secara mampan melalui kawalan penangkapan, penguatkuasaan peraturan, dan kerjasama rapat dengan komuniti nelayan supaya industri bilis terus berkembang dan menjadi sumber rezeki yang berterusan,” jelas kenyataan itu.
IMedikel TV






