Home Buletin Semasa ANAK ORANG ASLI REALISASI IMPIAN JADI GURU BAHASA INGGERIS

ANAK ORANG ASLI REALISASI IMPIAN JADI GURU BAHASA INGGERIS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Impian seorang anak Orang Asli menjadi seorang guru Bahasa Inggeris dan menguasai bahasa tersebut sejak dibangku sekolah, akhirnya membuahkan hasil apabila, dia kini menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Nur Syafienaz Nazri, 18, dari Kampung Lambok, Kuala Betis, Gua Musang berkata minat mendalam terhadap Bahasa Inggeris dipupuk sejak kecil, namun dia mula menguasainya ketika di tingkatan empat.

Menurutnya, media sosial seperti TikTok dan YouTube turut menjadi medium pembelajarannya kerana banyak kandungan interaktif yang membantunya mempelajari dan memperkukuh kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) iaitu bidang yang saya minat, terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya.

“Pada mulanya memang saya malu untuk bercakap Bahasa Inggeris, tetapi saya sering menghadiri program motivasi dan dapat dorongan daripada orang sekeliling sehingga saya lebih berani keluar dari zon selesa,” katanya ketika ditemui di IPG Kampus Kota Bharu, di sini pagi ini.

Dia yang juga anak sulung daripada empat beradik berasal daripada kaum Temiar tekad ingin membantu generasi muda Orang Asli untuk meminati dan menguasai Bahasa Inggeris.

Katanya, kebanyakkan komuniti itu kurang minat dan tidak fasih bertutur dalam bahasa berkenaan.

Sebelum ini, Nur Syafienaz meraih 8A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, Gua Musang.

Sementara itu ibunya, Siti Nor Syakila Kamar Zaman, 36, berkata, dia gembira dan bersyukur anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke IPG.

“Harapan saya supaya dia dapat menyesuaikan diri di sini dan belajar bersungguh-sungguh.

“Dari segi persiapan, saya cuma bekalkan dia dengan nasihat dan berharap semoga dia berjaya menjadi seorang guru Bahasa Inggeris seperti yang diimpikannya,” katanya.

Katanya, Nur Syafienaz turut menerima biasiswa sekali beri daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan bakal menerima tajaan bulanan RM530 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISP).

Menurut Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr Narita Mohd Noor, menyifatkan pencapaian pelajar Orang Asli yang memilih kursus Bahasa Inggeris sebagai suatu yang luar biasa.

“Kebanyakkan pelajar Orang Asli sebelum ini memilih bidang Bahasa Melayu, namun pelajar berkenaan menunjukkan komitmen tinggi sehingga berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan bahasa Inggeris,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here