Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Taktik licik peniaga rokok elektronik (vape) berselindung di sebalik perniagaan lain dikesan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata biasanya mereka adalah individu yang sama mendaftar perniagaan namun menukar nama dan premis bagi mengelakkan perniagaan tidak bermoral itu dihidu.
“Biasanya individu yang sama, mereka menukar nama dan premis supaya tidak dihidu pihak berkuasa.
“Mereka berselindung di sebalik jualan produk elektrik dan elektronik, minyak dan juga jualan telefon, dia ada kaunter belakang (menjual vape),”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Pelancaran Operasi Selamat Paru-paru (Ops Selamat PaPa), Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Utama Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini.
Katanya sebanyak 45, 201 vape dan nikotin cecair dirampas hasil operasi bersepadu dan pemantauan pihak berkuasa setakat Julai lalu.
“Jumlah operasi bagi tahun 2025 adalah 65 operasi. Jumlah peranti vape yang dirampas 2425 setakat Julai. Manakala jumlah nikotin yang dirampas setakat Julai 2025 adalah 42, 159 botol.
“Rampasan tertinggi premis di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan jumlah nikotin dan vape sebanyak 21,500,”katanya.
Menurut Hilmi, kegiatan itu dikesan hasil aduan orang awam sejak Kelantan mengharamkan penjualan vape sejak 2015.
Katanya semua peniaga terbabit dikenakan kompaun maksimum RM2,000 kerana menjual bahan larangan itu di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan.
IMedikel TV






