Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL BERSUBSIDI, DUA INDIVIDU DITAHAN

KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL BERSUBSIDI, DUA INDIVIDU DITAHAN

817
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah @ IMedikel TV

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan mematahkan dua cubaan menyeleweng 160 liter petrol bersubsidi bernilai lebih RM10,000 dalam satu operasi khas di sekitar Pasir Pekan, di sini, semalam.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail operasi bersepadu yang dijalankan penguat kuasa KPDN Kelantan itu membabitkan dua serbuan berasingan di dua stesen minyak, sekali gus membawa kepada penahanan dua individu tempatan.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di sebuah stesen minyak selepas dikesan mengisi petrol ke dalam tangki kenderaan yang sudah diubah suai.

“Pemeriksaan terhadap Proton Wira miliknya menemui 85 liter petrol bersubsidi yang telah disedut keluar, dengan nilai sitaan dianggarkan RM5,174.25,”katanya dalam kenyataan semalam.

Manakala kes kedua pula membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun yang ditahan di sebuah stesen minyak di Pasir Pekan Hilir.

“Wanita itu turut dikesan menggunakan tangki kenderaan yang diubah suai bagi tujuan penyelewengan. Sebanyak 75 liter petrol dirampas daripada Proton Wira Aeroback miliknya dengan nilai sitaan RM5,153.75,”katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here