Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Yayasan waqaf Malaysia (YWM) melancarkan Waqf Go Learning yang pertama di Malaysia bagi memperluaskaan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah rendah dan menengah terutamanya dalam kalangan golongan B40 dan asnaf.
Memetik kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar, dalam ucapan berkata platform itu menawarkan lebih 3,000 video pembelajaran selaras dengan silibus Kementerian Pendidikan (KPM) serta ciri-ciri tambahan seperti kuiz interaktif, forum tutor, papan pemuka pembelajaran (personal dashboard), sistem pemantauan ibu bapa, chatbot AI dan webinar langsung.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, keterangkuman dan kesejahteraan sosial, YWM dengan kerjasama ITTV Education Sdn. Bhd. telah meluncurkan Waqf Go Learning, sebuah platform pembelajaran digital berasaskan wakaf yang pertama di Malaysia.
“Waqf Go Learning membuktikan bahawa wakaf tidak lagi terhad kepada tanah dan bangunan semata-mata, tetapi telah berevolusi merangkumi teknologi, data dan platform digital.
“Ini adalah bukti bahawa institusi agama turut memimpin agenda digital secara inklusif dan bernilai, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Islam Mekar di bumi Malaysia,”menurut kenyataan itu hari ini.
Menurutnya 10 peratus daripada kutipan langganan platform itu akan disalurkan semula kepada YWM sebagai dana wakaf, sekali gus menjadikan model ini lebih lestari dan berimpak jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar, berkata Waqf Go Learning bukan sekadar platform digital, ia adalah sistem sokongan pendidikan negara yang digerakkan melalui wakaf.
“Ia membolehkan masyarakat menyumbang secara tersusun dan berstrategi kepada pembangunan modal insan menerusi instrumen yang telus dan mampan,”katanya.
YWM juga merancang untuk memperluaskan capaian platform itu kepada pelajar tahfiz,Orang Kurang Upaya (OKU) dan memperkenalkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bimbingan kerjaya secara digital sebagai persediaan tenaga kerja masa depan.
“Sebagai permulaan 1,000 pelajar terawal ditawarkan akses percuma ke portal Waqf Go Learning bermula hari ini, terbuka kepada pelajar daripada Darjah 4 hingga Tingkatan 5.
“Orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini melalui portal rasmi YWM di www.ywm.gov.my serta saluran media sosial rasmi seperti Facebook dan Instagram rasmi Yayasan Waqaf Malaysia,”menurut kenyataan.
YWM menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat serta swasta untuk tampil sebagai rakan strategik Waqf Go Learning dan menaja pelajar asnaf dan B40 agar akses kepada pendidikan lebih menyeluruh tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.
IMedikel TV






