Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi mensasarkan 10,000 institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi Kempen Internet Selamat (KIS).
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, berkata inisiatif itu adalah antaranya bagi menangani isu buli siber.
“Pihak kementerian mensasarkan sebanyak 8,000 sekolah sebelum hujung tahun tahun ini.
“Kempen tersebut adalah inisiatif bagi menangani masalah buli siber, scammer dan yang paling penting adalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes membabitkan jenayah seksual kanak-kanak sangat membimbangkan,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Kita MADANI X Program MADANI Rakyat dan Sambutan Bulan Kebangsaan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kelantan, di Kompleks Sekolah-sekolah Kota Bharu, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim, Pengarah Jabatan Kesihatan Ngeeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.
Mengulas lanjut kempen tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah.
“Bagi penggunaan internet, kita sudah mewajibkan hanya individu yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan untuk melayari internet. Ini adalah salah satu usaha untuk mengekang masalah yang membabitkan penggunaan internet.
“Kita dalam proses untuk meluluskan penguatkuasaan penggunaan internet pada umur 13 tahun,”katanya.
Pelaksanaan KIS secara berperingkat dari 2025 hingga 2027 menyasarkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk kanak-kanak, remaja, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, ibu bapa, komuniti Madani dan warga emas.
IMedikel TV






