Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
GUA MUSANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan nilai eksport durian Malaysia melepasi RM1.5 bilion pada 2025 susulan permintaan kukuh dari pasaran utama seperti China, Singapura, Hong Kong dan Kanada.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, jumlah nilai eksport durian negara ke luar negara telah meningkat sebanyak 256.3 peratus atau bersamaan RM822.8 juta dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada RM321.2 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022.
“Peningkatan ini membuktikan potensi besar durian sebagai antara komoditi agromakanan bernilai tinggi yang bukan sahaja memberi pulangan besar kepada negara, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Durian 2025 di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang, di sini, semalam.
Menurutnya, usaha mempromosikan durian melalui pesta dan program seperti itu juga disifatkan penting bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian bernilai tinggi serta mewujudkan rantaian nilai melibatkan pekebun, logistik, peruncit, industri pemprosesan dan pelancongan.
Mohamad berkata, berdasarkan laporan pasaran durian segar global oleh Mordor Intelligence (2024), nilai pasaran durian dunia dijangka mencecah lebih USD10.78 bilion pada 2025 dan melonjak kepada USD16.89 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.4 peratus.
“China kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan itu, menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah import durian di Asia Pasifik, sekali gus menjadi pasaran strategik utama bagi pengeksport Malaysia.
“Pada 19 Jun 2024, Malaysia berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar ke Republik Rakyat China (RRC), yang membuka akses pasaran baharu bagi eksport durian segar dari Malaysia ke negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini, akses eksport ke China hanya terhad kepada durian dalam bentuk ulas dan pes (2011) serta durian sejuk beku dalam bentuk biji (2018).
Mohamad berkata, akses durian segar itu diyakini mampu melonjakkan nilai eksport, memperluas pasaran industri durian tempatan, malah menyasarkan banyak kawasan pertanian baharu untuk tanaman durian termasuk Musang King, yang mendapat permintaan tinggi, selaras dengan matlamat mengukuhkan keterjaminan makanan negara serta meningkatkan pendapatan pekebun.
IMedike TV






