WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 11 pengunjung pasar raya Walmart di Traverse City, Michigan cedera akibat ditikam dalam serangan secara mengejut semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Polis Negeri Michigan juga mengesahkan seorang suspek yang disyaki melakukan serangan itu sudah ditahan.
“Kami mengesahkan seramai 11 mangsa sedang menerima rawatan susulan serangan di Traverse City,” kata jurucakap Pusat Perubatan Munson dalam satu kenyataan di media sosial.
Polis Negeri Michigan memaklumkan, pihak berkuasa sedang menyiasat ‘insiden tikaman beramai-ramai’ di pasar raya Walmart di Traverse City.
“Suspek ditahan, namun maklumat lanjut masih terhad pada ketika ini,” kata pihak polis.
Pihak hospital memaklumkan mereka sedang berdepan ‘jumlah pesakit yang lebih tinggi daripada biasa’.
Traverse City menjadi destinasi pelancongan popular kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Tasik Michigan dan tasik-tasik besar lain di kawasan itu.
Sementara itu, Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer, memaklumkan beliau telah berhubung dengan pihak berkuasa berhubung insiden serangan yang disifatkannya sebagai ‘amat mengerikan’.
“Doa dan ingatan kami bersama mangsa serta komuniti yang masih terkejut dengan insiden keganasan kejam ini,” katanya menerusi satu hantaran di platform X.
Saksi kejadian, Julia Martell, memberitahu The New York Times bahawa beliau terdengar jeritan dan terlihat seorang lelaki bersenjata pisau berlari di bahagian farmasi sebuah pasar raya.
Beliau berkata, lelaki itu dilihat menolak dan menikam beberapa individu ketika melalui kawasan premis tersebut.
Martell, 30, turut menyaksikan tiga mangsa yang mengalami kecederaan akibat tikaman, selain menggambarkan keadaan lokasi kejadian sebagai “berlumuran darah.”
Sementara itu, jurucakap pihak berkuasa, Shea, memaklumkan kejadian tikaman itu dipercayai bermula di bahagian pembayaran pasar raya berkenaan.
“Kejadian seperti ini amat jarang berlaku di kawasan kami,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






