KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Intan Najuwa, 27, menjelaskan apa yang dipaparkan dalam akaun media sosial adalah realiti kehidupan diri dan keluarga, bukan kandungan yang sengaja direka untuk tatapan pengikut hingga tular.
Memetik laporan Berita Harian, ibu kepada cahaya mata, Imane Lunara itu menafikan sanggup ‘melakonkan’ semula aktiviti harian semata-mata ingin menayang kemewahan kepada pengikut.
“Apa yang pengikut nampak dalam media sosial adalah hakikat kehidupan saya, bukan lakonan. Contohnya, tolak ‘stroller’ (kereta sorong) atau pura-pura tarik langsir.
“Semua itu adalah perkara yang dilakukan spontan, buka saya atau pembantu yang melakonkan. Apa yang dikongsi, itulah yang terjadi depan mata. Semua ini semata-mata untuk berkongsi kehidupan saya sebagai isteri dan ibu.
“Saya harap pengikut tidak salah anggap, sebaliknya, lihatlah perkongsian saya dari sudut positif,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty di sini, baru-baru ini.
Intan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos 2023.
Pada 15 Disember tahun lalu, Intan berkongsi mengenai kelahiran Imane melalui hantaran media sosial.
Intan yang juga pelakon drama Jesnita itu memberitahu, dia sudah lama berkongsi aktiviti harian dalam media sosial, iaitu sejak zaman anak dara.
“Saya hendak gembirakan diri sendiri. Selain itu, itulah cara saya berinteraksi dengan pengikut media sosial,” katanya.
Ditanya mengenai kecenderungan membalas kecaman yang dilayangkan pengikut dalam media sosial, Intan berkata, apa yang dilakukan bukanlah bermaksud dirinya melenting, sebaliknya sekadar mengusik netizen.
“Bagi saya, mudah sahaja. Untuk jadi insan yang tenang, saya tidak suka fikir soal ‘haters’ atau kutukan dan kritikan dilemparkan kepada saya.
“Kalau baca semula, saya tidak balas kecaman dalam keadaan marah. Saya hanya bergurau. Kalau asyik melayan komen negatif, ia tidak akan habis,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjaya lakonan, Intan mengakui masih menerima tawaran. Namun, buat masa ini, Intan keberatan meninggalkan Imane yang dipanggil Luna, biarpun mengupah pembantu dan jururawat peribadi.
Intan berkata, dia mungkin memikirkan dengan serius soal kembali ke lokasi penggambaran apabila Imane sudah berusia setahun.
“Rindu untuk berlakon mesti ada. Baru-baru ini, saya tonton semula drama Jesnita dan Kekasih Paksa Rela, hati jadi berbelah bahagi,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






