Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengagihkan sebanyak RM889,493.65 kepada lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menerusi agihan Dana Wakaf Tunai Malaysia bagi tahun 2024, sekali gus memperkukuh lagi peranan wakaf sebagai instrumen memperkasa sosioekonomi ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan sejajar dengan aspirasi Kerajaan menjadikan wakaf sebagai instrumen utama dalam memperkukuh sosioekonomi ummah, YWM kekal komited dan proaktif dalam memperkasa kutipan serta agihan wakaf tunai di seluruh negara.
Beliau merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, berkata selaras dengan kelulusan kod potongan gaji wakaf kepada YWM, inisiatif ini membolehkan penjawat awam Persekutuan melaksanakan ibadah wakaf secara berkala dengan lebih mudah dan sistematik.
“Sebagai entiti wakaf di peringkat Persekutuan, YWM memainkan peranan sebagai pelengkap kepada usaha MAIN dalam aspek pembangunan dan pengurusan harta wakaf secara bersepadu dan berstrategik.
“Usaha ini turut diperkukuh melalui sokongan Kerajaan menerusi Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 : Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan Negeri.
“Lapan MAIN menerima agihan suku tahunan tersebut termasuk Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis, selaras dengan pelaksanaan kod potongan gaji wakaf yang diperkenalkan bagi penjawat awam Persekutuan,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya agihan tersebut bukan sahaja memberi impak signifikan kepada agenda pemerkasaan bumiputera, malah memperkukuh hubungan erat antara agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam memperluas penerimaan, pengurusan dan agihan wakaf tunai secara sistematik dan berimpak tinggi.
“Untuk makluman, setiap sumbangan wakaf di bawah Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM adalah merupakan projek berkepentingan nasional, yang membolehkan setiap pewakafan tunai kepada YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967,”katanya.
Tambahnya kerjasama berterusan itu diyakini akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kesejahteraan sosial masyarakat dan kemampanan wakaf di Malaysia, seiring dengan gagasan Membangun Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
YWM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pewakaf yang sentiasa menyokong inisiatif wakaf di bawah YWM.
IMedikel TV






