NEW DELHI: Laporan awal berhubung nahas pesawat Air India yang mengorbankan 260 nyawa bulan lalu mendedahkan berlakunya kekeliruan juruterbang dalam kokpit sejurus sebelum pesawat terhempas.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, ia berlaku apabila suis bekalan bahan api ke enjin pesawat tertutup sejurus selepas dibuka, menyebabkan enjin tidak menerima bekalan bahan api.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner menuju ke London dari Ahmedabad, India, dilaporkan mula kehilangan daya tujahan dan menjunam serta-merta, menurut laporan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) hari ini, menjadikannya nahas penerbangan paling buruk dalam sedekad lalu.
Laporan awal mengenai nahas yang berlaku pada 12 Jun, sejurus selepas pesawat itu berlepas, menimbulkan persoalan baharu mengenai kedudukan suis penting itu.
Namun, setakat ini tiada bukti menunjukkan pihak pengeluar pesawat, Boeing, mahupun pembuat enjin, General Electric (GE), bertanggungjawab terhadap kesilapan itu.
Nahas itu turut dilihat sebagai cabaran besar kepada kempen mega Kumpulan Tata untuk mengembalikan kewibawaan Air India serta memperbaharui armadanya, selepas mengambil alih syarikat penerbangan itu daripada kerajaan pada 2022.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan satu sumber kuasa sokongan dikenali sebagai ‘ram air turbine’ telah diaktifkan sebaik pesawat berlepas, menandakan kehilangan kuasa daripada enjin.
Dalam detik-detik terakhir penerbangan itu, perakam suara kokpit merekodkan salah seorang juruterbang bertanya kepada rakannya mengapa beliau memotong bekalan bahan api.
“Juruterbang kedua menjawab bahawa beliau tidak melakukannya,” menurut laporan itu.
Laporan terbabit tidak menyatakan sama ada kenyataan itu dibuat oleh ketua juruterbang atau pembantu juruterbang, dan juga tidak mendedahkan siapa yang membuat panggilan kecemasan ‘Mayday, Mayday, Mayday’ sebelum nahas berlaku.
Ketua juruterbang pesawat Air India itu Sumeet Sabharwal, 56, mempunyai jumlah pengalaman penerbangan sebanyak 15,638 jam dan juga adalah jurulatih penerbangan Air India, menurut kerajaan India.
Pembantu juruterbang pula ialah Clive Kunder, 32, dengan 3,403 jam pengalaman penerbangan.
Kedua-dua suis bahan api dalam pesawat malang itu didapati telah bertukar dari kedudukan ‘run’ (beroperasi) ke ‘cutoff’ (ditutup) sejurus selepas berlepas.
Namun, laporan awal tidak menjelaskan bagaimana suis terbabit boleh bertukar ke mod ‘cutoff’ semasa penerbangan.
Pakar penerbangan menyatakan bahawa adalah mustahil bagi juruterbang untuk secara tidak sengaja tertutup suis bahan api itu.
Di lokasi nahas, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam kedudukan ‘run’ dan terdapat petunjuk bahawa kedua-dua enjin cuba dihidupkan semula sebelum pesawat terhempas pada altitud rendah, menurut laporan yang dikeluarkan sekitar jam 1.30 pagi waktu India (2000 GMT Jumaat).
Air India dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya maklum mengenai laporan itu dan berkata sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India, namun enggan mengulas lanjut.
AAIB, sebuah agensi di bawah Kementerian Penerbangan Awam India, mengetuai siasatan terhadap nahas yang mengorbankan 241 daripada 242 penumpang dan anak kapal, serta 19 individu di darat.
Kebanyakan nahas udara berpunca daripada pelbagai faktor, dengan laporan awal dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian seperti yang ditetapkan oleh peraturan antarabangsa, manakala laporan akhir dijangka disiapkan dalam tempoh setahun. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






