RIYADH: Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal mampu memberikan tawaran lumayan bagi mendapatkan pemain RB Leipzig, Benjamin Sesko selepas gagal meyakinkan Victor Osimhen menyertai mereka.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Al-Hilal terdesak mencari penyerang pada musim panas ini dan sudah dua kali tawaran mereka ditolak Osimhen, yang kini lebih cenderung untuk kekal di Turkiye.
Kini Al-Hilai mengalih tumpuan kepada penyerang tinggi lampai, Sesko, yang turut dikaitkan dengan Manchester United.
Turut berada dalam senarai pendek kelab Liga Pro Saudi itu ialah penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta.
Pemain Perancis itu meledak 17 gol untuk Palace musim lalu, dan membantu kelab memenangi Piala FA serta layak ke Liga Europa.
Satu lagi nama dalam senarai Al-Hilal ialah bintang Fiorentina, Moise Kean yang meledak 25 gol musim lalu.
Mateta dan Kean turut berada dalam radar Man United dengan pengendalinya, Ruben Amorim terdesak mempertajam jentera serangan untuk saingan musim depan.
Leipzig meletakkan harga 77 juta pound (RM445.51 juta) untuk Sesko, 22.
Al-Hilal menjadi tumpuan di Piala Dunia Kelab apabila berjaya menewaskan Manchester City. Mereka turut menjuarai Liga Pro Saudi musim lalu dan melantik Simone Inzaghi sebagai pengendali.
Ketika ini Aleksandar Mitrovic cemerlang menerajui jentera serangan Al-Hilal, tetapi kelab mahu memberikan lebih pilihan buat Inzaghi di barisan depan.
Al-Hilal antara kelab paling berjaya di Arab Saudi dengan rekod 19 gelaran Liga Pro Saudi.
Mereka dibarisi pemain-pemain bintang seperti Joao Cancelo, Kalidou Koulibaly dan Ruben Neves. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






