Home Luar Negara KEBAKARAN BESAR DI HAB KOMUNIKASI KAHERAH CETUS GANGGUAN TELEFON, INTERNET

KEBAKARAN BESAR DI HAB KOMUNIKASI KAHERAH CETUS GANGGUAN TELEFON, INTERNET

423
0

KAHERAH: Satu kebakaran besar berlaku di sebuah hab telekomunikasi utama di ibu negara Mesir, semalam, mengakibatkan gangguan besar terhadap perkhidmatan telefon dan internet.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata seramai 14 orang cedera dalam kebakaran itu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kebakaran bermula di tingkat tujuh di sebuah bangunan setinggi 10 tingkat di pusat bandar Kaherah, di mana seorang wartawan AFP melihat asap hitam tebal keluar dari kawasan itu.

Video yang tersebar luas di media sosial juga menunjukkan asap keluar dari tingkat atas bangunan itu, yang kelihatan dari beberapa kilometer jauhnya.

Pasukan bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian, dan televisyen kerajaan Mesir melaporkan, kebakaran sudah berjaya dikawal.

Menurut Gabenor Kaherah, Ibrahim Saber, kebakaran itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Akhbar milik kerajaan Al-Ahram turut melaporkan, kebakaran juga mengganggu perkhidmatan telefon dan internet di seluruh ibu negara.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Penerbangan Awam berkata, gangguan pada rangkaian telekomunikasi dan internet turut menyebabkan kelewatan kecil pada beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Kaherah.

Menara Ramses, yang terjejas dalam kebakaran itu menjadi hab telekomunikasi penting yang memainkan peranan utama dalam infrastruktur internet dan telefon Mesir. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here