Home Buletin Semasa YAPEIM PERUNTUK RM13.5 JUTA BINA BAHARU DAN BAIK PULIH KEDIAMAN SELURUH NEGARA

YAPEIM PERUNTUK RM13.5 JUTA BINA BAHARU DAN BAIK PULIH KEDIAMAN SELURUH NEGARA

300
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata sebanyak 167 buah projek baik pulih dan 126 bina baharu sudah dilaksanakan dengan 225 projek sudah siap sementara baki 68 projek sedang dalam proses pembinaan.

“Secara khususnya, di negeri Kelantan sahaja membabitkan sebanyak 41 projek dengan 26 projek bina baharu dan 15 baik pulih dengan kos keseluruhan RM 2.17 juta.

“YAPEIM bersama rakan strategik sudah menyerahkan empat buah rumah di bawah inisiatif Program Sinar Lestari YAPEIM membabitkan peruntukan berjumlah RM320,000,”katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Serahan Rumah Program Sinar Lestari YAPEIM dan Penyerahan Bantuan Sinar Kasih YAPEIM, di Kampung Merkang, di sini, pada Ahad.

Katanya penerima manfaat tersebut adalah kategori eKasih yang menerima peruntukan sebanyak RM80,000 bagi sebuah rumah.

Beliau turut menyerahkan bantuan Sinar Kasih YAPEIM bernilai RM9,600 kepada balu yang mempunyai empat orang anak selepas kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya 7 bulan lalu.

“Program Sinar Kasih ini bertujuan menyantuni anak-anak kehilangan ketua keluarga secara mengejut khususnya yang mengalami kemalangan dan musibah seperti kebakaran, mati lemas dan bencana alam,”katanya.

Beliau berharap agar dengan bantuan Sinar Kasih YAPEIM memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan sekaligus meringankan beban mereka sekeluarga.

“Saya harap usaha murni ini sentiasa dilaksana dan diteruskan pihak YAPEIM dari semasa ke semasa dalam membantu golongan memerlukan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here