Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Kira-kira 4,000 anak pokok tanaman hiasan bernilai RM470,000 dipercayai diseludup dari Thailand dirampas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Bukit Lata, Jeram Perdah, di sini, pada Sabtu.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun dipercayai penghantar tanaman tersebut turut ditahan pada jam 10.10 pagi menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 4,000 anak pokok bunga kertas berada di belakang lori tersebut dan disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu tersebut dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri tempatan.
“Anggaran nilai rampasan bernilai RM470,000 termasuk lori dan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat dibawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).
IMedikel TV






