Home Luar Negara RAKYAT MALAYSIA CEDERA PARAH JATUH DI GUNUNG RINJANI

RAKYAT MALAYSIA CEDERA PARAH JATUH DI GUNUNG RINJANI

354
0

LOMBOK: Seorang pendaki warga Malaysia menjadi mangsa terbaharu kemalangan di Gunung Rinjani, Indonesia selepas dilaporkan terjatuh ketika pendakian di gunung berkenaan, pada Khamis lalu.

Menurut laporan Kompas, mangsa, Nazli Awang Mahat, 47, tergelincir sejauh 200 meter di jalur menuju Danau Segara Anak.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Ketua Resort Taman Nasional Gunung Rinjani (TNGR), Taufikurrahman berkata, mangsa mengalami luka di kepala dan kaki.

“Kejadian in berlaku Khamis lalu dan mangsa tidak dapat meneruskan perjalanan,” katanya.

Menurut laporan Detik.com, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang pinggul dan luka pada bahagian kepala selepas terjatuh.

Ketua Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), Yarman mengesahkan kemalangan sekitar jam 2.20 petang waktu tempatan itu dan memaklumkan operasi menyelamat digerakkan sejurus menerima maklumat awal.

“Maklumat awal menunjukkan mangsa masih mampu berjalan perlahan walaupun mengalami kecederaan pada kaki dan hentakan di kepala.

“Pasukan kami telah dikerah ke lokasi bagi menjalankan rawatan kecemasan dan operasi menyelamat. Identiti mangsa tidak didedahkan buat masa ini,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, prosedur menyelamat dilakukan mengikut standard keselamatan ditetapkan, termasuk pemberian rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dibawa ke pos kawalan terdekat seperti Posko Sembalun.

Sekiranya memerlukan rawatan lanjut, mangsa akan dirujuk ke fasiliti kesihatan seperti Hospital Bhayangkara Mataram atau Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di daerah Sembalun.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan semua pendaki supaya lebih berwaspada dan tidak memandang ringan cabaran ketika melakukan pendakian di Gunung Rinjani.

“Topografi Rinjani sangat mencabar. Pendaki perlu berhati-hati, tidak memaksa diri sekiranya penat, dan segera berehat atau meminta bantuan jika berdepan kesukaran,” katanya.

Untuk rekod, ini adalah kes kedua membabitkan warga asing dalam tempoh seminggu di gunung berapi terkenal itu.

Pada 21 Jun lalu, seorang pendaki warga Brazil, Juliana Marins, 27, maut selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Rinjani, mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan laluan pendakian itu.

Pada Mei lalu, pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, meninggal dunia selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here