PHILADELPHIA: Dalam landskap bola sepak Brazil yang kaya dengan permusuhan klasik berasaskan bandar, pertarungan antara Botafogo dan Palmeiras kini menjadi salah satu perseteruan paling panas, ia bakal mencapai kemuncak baharu apabila kedua-dua pasukan bertemu di pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok di Philadelphia.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro perseteruan ini tercetus sejak 2023, apabila Palmeiras yang diterajui bakat muda sensasi, Endrick, bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menewaskan Botafogo 4-3, satu kekalahan yang menyebabkan kejatuhan dramatik Botafogo dalam perebutan kejuaraan liga Brazil.
Palmeiras kemudiannya merangkul kejuaraan liga, mencetuskan pertelingkahan terbuka antara pegawai kelab.
Presiden Palmeiras, Leila Pereira melabel pemilik Botafogo, John Textor sebagai ‘bodoh’ dan mencadangkan agar jutawan Amerika Syarikat itu ‘diharamkan daripada bola sepak Brazil’ selepas beliau mendakwa pengadil berat sebelah memihak kepada Palmeiras.
Tidak seperti permusuhan klasik seperti Flamengo-Fluminense atau Atletico Mineiro-Cruzeiro, pertarungan ini membabitkan dua kota utama Brazil, Sao Paulo (Palmeiras) dan Rio de Janeiro (Botafogo), menjadikan ia pertembungan rentas negeri yang penuh emosi dan tekanan.
Botafogo membalas dendam dalam Copa Libertadores 2024, menyingkirkan Palmeiras di pusingan 16 terakhir sebelum menjulang kejuaraan benua.
Mereka sekali lagi mencatat kemenangan dalam aksi liga di gelanggang Palmeiras dan menamatkan musim dengan kejuaraan domestik serta antarabangsa, satu pencapaian berganda yang membanggakan.
Sejak kekalahan dramatik pada 2023 itu, Botafogo tidak pernah tewas dalam lima pertemuan berturut-turut menentang Palmeiras.
Aksi esok di Lincoln Financial Field bukan sekadar perlawanan kalah mati, tetapi bab baharu dalam kisah dendam yang menjadi buat peminat dan pemain kedua-dua kelab.
“Ia sangat bermakna. Perlawanan-perlawanan terakhir Botafogo lawan Palmeiras sentiasa sengit dan berkualiti tinggi,” kata pertahanan Botafogo, Alex Telles dalam sidang media.
“Ini satu persaingan sihat buat bola sepak Brazil. Seronok lihat dua kelab Brazil bertemu di pentas dunia, dan kesemua empat wakil kita mara ke pusingan 16 terakhir.” – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






