KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura mengakui reputasi dan perniagaannya terkesan dengan isu syarikat miliknya didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta dengan sebuah syarikat pembekal tudung.
Memetik laporan Harian Metro, bagaimanapun, Fazura memilih untuk kekal positif dan menganggap ujian sebegitu sebagai lumrah dalam dunia perniagaan.
“Lapan bulan kebelakangan ini, macam-macam yang saya lalui. Jadi, kalau ditanya sama ada saya terkesan, sudah tentu sedikit sebanyak saya rasa juga.
“Saya pun manusia biasa yang ada perasaan. Namun, saya faham itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan.
“Sebagai seorang ahli perniagaan wanita, inilah realiti yang kita kena tempuh. Hanya yang pernah berniaga saja akan faham perkara-perkara seperti ini,” katanya.
Berhubung isu itu, Fazura menyerahkan kepada pihak peguam untuk diselesaikan mengikut saluran undang-undang.
“Saya rasa tak perlu saya jelaskan lebih-lebih, sebab belum tentu orang akan faham. Jadi, cukup sekadar memahami bahawa saya adalah diri saya dan syarikat itu entiti berasingan.
“Perkara ini juga adalah sulit. Saya tak perlu nak perjelaskan dan saya rasa memang tak perlu pun.
“Saya rasa, semua usahawan di luar sana faham mengenai cabaran yang dilalui apabila menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran video muzik single baharunya, Luar Biasa.
Dalam masa sama, Fazura turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental dan memilih untuk menjauhkan diri daripada segala komen serta kandungan negatif di media sosial.
“Sejujurnya, saya memang tak baca media sosial, tak tengok TikTok. Tapi sekarang saya ada tengok Threads.
“Alhamdulillah, semuanya bermula daripada peminat juga. Orang tag di Threads, jadi saya masuk.
“Saya rasa Threads ini sangat positif. Memang saya aktif di situ. Tapi Facebook, apatah lagi TikTok, saya memang jarang tengok sekarang,” katanya.
Fazura berkata, dia tidak membaca sebarang komen dan orang sekelilingnya juga tahu untuk tidak berkongsi sebarang makkumat yang boleh mengganggu emosinya.
“Saya memang menjaga kesihatan mental saya. Saya nak hidup dengan tenang. Saya nak gembira, dan saya nak terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya.
“Anak saya, dialah permata hati saya. Jadi, itulah yang paling penting dalam hidup saya sekarang.
“Apa-apa berita, gosip, atau fitnah, saya memang tak ambil tahu. Alhamdulillah, saya tenang dan ingin terus begini,” katanya.
Baru-baru ini, media mendedahkan syarikat pengilang tudung milik Obor Holding iaitu Feline Malaysia, mendakwa syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd, masih berhutang sebanyak RM4.65 juta.
Obor Holding Sdn Bhd, selaku pemilik kilang Feline Malaysia, mendakwa pihaknya membekalkan tudung bernilai RM7.3 juta kepada Pink Fate sejak Jun 2022, namun hanya menerima bayaran berjumlah RM2.68 juta setakat ini.
Syarikat itu turut mendakwa mereka mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran daripada pihak Pink Fate sejak Disember tahun lalu.
Terbaharu, Fazura bekerjasama dengan pemuzik Indonesia, Ade Govinda dan menghasilkan lagu Luar Biasa. – HMetro Online –
IMedikel TV






