Home Buletin Semasa APM CADANG WUJUD KOMUNITI RESPON KEMALANGAN

APM CADANG WUJUD KOMUNITI RESPON KEMALANGAN

398
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kemalangan ngeri yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik dua minggu lalu membuka mata banyak pihak terutama dari segi peningkatan keselamatan khususnya di lokasi kejadian.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed, berkata pihaknya dalam perbincangan untuk mewujudkan Komuniti Respon Kemalangan.

“Saya sudah bercakap dengan Pengarah APM Perak berkaitan dengan usaha yang wajar ataupun boleh dibuat oleh APM berkaitan kemalangan bas. Dan kita tahu bahawa ia berlaku antara negeri Perak dan Kelantan.

“Apabila berlaku kejadian dua minggu lalu, saya melihat bahawa perkara ini boleh digabungkan dan memberi tumpuan selain daripada yang sudah kita laksanakan sebelum ini kepada titik panas kemalangan.

“Saya sudah berbincang bersama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, bagaimana APM boleh membantu pihak terbabit berkaitan titik panas kemalangan.

“Seperti kita tahu, MIROS ada titik panas kemalangan dan mereka mempunya inisiatif bagi membantu mengurangkan atau mengelakkan kemalangan tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia Penyampaian Watikah, Pingat dan Sijil APM Negeri Kelantan 2025, di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini pihak APM sudah menubuhkan Kampung Siaga di mana ia bertindak untuk menghadapi bencana banjir.

“Saya meminta Pengarah APM Kelantan dan Perak mewujudkan Komuniti Respon Kemalangan.

“Maknanya mereka berada di kawasan berhampiran dengan kawasan titik panas kemalangan untuk memberi maklumat kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kemalangan.

“Sekurang-kurangnya kita boleh mengawal lalu lintas atau memberi laporan kepada pihak berwajib termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa terdapat kemalangan di tempat berkenaan.

Katanya penubuhan komuniti itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pelbagai pihak khususnya berkaitan kes kemalangan di titik panas.

“Saya ada minta beberapa anggota untuk melihat keadaan jalan di Genting Highland kerana kerap berlaku kemalangan.

“Bagaimana mereka laksanakan kerana saya difahamkan di situ ada kamera litar tertutup (CCTV), terdapat pasukan yang respon sekiranya berlaku kemalangan dan terdapat bonggol untuk mengurangkan kelajuan.

“Mungkin APM akan belajar dari situ bagaimana kita boleh respon. Jadi saya harap kita akan semak perkara ini dan kita hanya akan respon apabila berlaku keperluan kepada pihak APM,”katanya.

Hadir sama Pengarah APM Negeri Kelantan Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here