Home Sukan BENFICA BANGKIT IKAT BOCA

BENFICA BANGKIT IKAT BOCA

369
0

MIAMI GARDENS, Amerika Syarikat: Dua gol daripada pemain kebangsaan Argentina menafikan kemenangan Boca Juniors ke atas Benfica hari ini apabila kelab dari Buenos Aires itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 dalam pertembungan sengit Kumpulan C Piala Dunia Kelab.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, sepakan penalti Angel Di Maria pada penghujung babak pertama dan tandukan Nicolas Otamendi pada minit ke-86 memberikan satu mata kepada pasukan dari Lisbon yang bermain dengan 10 orang dalam perlawanan berlangsung seperti aksi di gelanggang sendiri buat Boca.

Kelab Argentina itu mendahului 2-0 hasil jaringan Miguel Merentiel dan Rodrigo Battaglia, dan kelihatan bersedia untuk meraikan kemenangan apabila Benfica kehilangan seorang pemain pada minit ke-72.

Stadium Hard Rock yang menjadi gelanggang rasmi Miami Dolphins bertukar menjadi ‘Bombonera tepi pantai’, dengan 90% daripada 55,574 penonton berpakaian biru dan kuning sambil mencipta suasana hingar-bingar yang jarang atau mungkin tidak pernah dialami dalam perlawanan NFL di situ.

Sejurus perlawanan bermula, jelas keterujaan di tempat duduk diterjemahkan ke atas padang, dengan Boca membuktikan kelab Amerika Selatan dalam kejohanan itu ingin menunjukkan sesuatu kepada lawan dari Eropah.

Barisan tengah Boca bergerak lincah, menyerang dengan pantas dan membuat terjahan agresif, dengan sorakan besar pertama kedengaran apabila Di Maria, pemenang Piala Dunia bersama Argentina, dikasari dari belakang.

Gol pertama Boca hasil gerakan bijak Lautaro Blanco di sebelah kiri pada minit ke-21. Dia yang meluru dari sayap kiri melakukan hantaran rendah yang disudahkan oleh Merentiel dalam kotak penalti.

Gol itu meningkatkan lagi sorakan dan Benfica kelihatan bergelut dan enam minit kemudian mereka ketinggalan 0-2 apabila tandukan Ayrton Costa hasil sepakan sudut Kevin Zenon singgah ke tiang sebelum Battaglia pantas menyambut dan menjaringkan gol dari jarak dekat.

Juara Eropah dua kali itu amat memerlukan peluang untuk bangkit, dan mereka mendapatkannya apabila pemain Boca, Carlos Palacios, melakukan terjahan ke atas Otamendi.

Pemain veteran berusia 37 tahun, Di Maria, menggunakan segala pengalamannya untuk memperdaya Agustín Marchesín dan menyempurnakan penalti dengan tenang untuk merapatkan jurang.

Selepas rehat, tempo permainan menurun tetapi Boca berpeluang untuk mendapatkan gol ketiga pada minit ke-69, namun tandukan Battaglia tersasar.

Benfica terus bermasalah apabila Andrea Belotti, yang masuk sebagai pemain gantian separuh masa, dilayangkan kad merah pada minit ke-71 selepas terjahan tinggi yang mengenai kepala Ayrton Costa.

Namun, enam minit sebelum tamat, benteng pertahanan Boca gagal mengawal pergerakan Otamendi ketika sepakan sudut, dan pemain veteran Argentina itu menyambut hantaran Orkun Kökçü dengan tandukan padu untuk menyamakan kedudukan.

Keputusan yang mengecewakan buat Boca menjadi lebih buruk apabila Nicolas Figal turut dilayangkan kad merah lewat permainan kerana kekasaran teruk terhadap Florentino.

Kumpulan C turut menampilkan Bayern Munich dan Auckland FC. – AFP, BH Online –

IMedikel TV



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here