KUALA LUMPUR: Pendedahan penerbit drama, Darling Ngasri mengenai apa yang didakwa kecenderungan penulis skrip menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menghasilkan dialog seperti dilaporkan BH Online, baru-baru ini, menimbulkan persoalan terhadap nilai seni, ketulenan dan kreativiti pengkarya dalam mencipta naskhah tontonan ramai.
Memetik laporan Berita Harian, berkongsi kerisauan, Darling dilapor mendakwa segelintir penulis skrip tempatan semakin ‘malas’ apabila bergantung kepada ChatGPT untuk menghasilkan dialog demi memudahkan kerja atau setiap kali idea kontang.
Penulis skrip senior, Rozie Rashid yang menghasilkan lebih 40 naskhah sejak mula aktif, berpendapat aplikasi ChatGPT sebaiknya digunakan sebagai alat bantu, bukan pengganti jiwa seni dalam penulisan.
Rozie atau nama sebenar, Roziwati Mohd Rashid, 56, mendedahkan kebergantungan melampau terhadap ChatGPT boleh melemahkan daya kreativiti karyawan kerana enggan berfikir secara mendalam.
“Ini sebenarnya bergantung kepada sikap individu itu sendiri. Tetapi, sebenarnya teknologi ini hanya perlu digunakan untuk menjana idea atau mengembangkan idea, bukan mengikut penulisan ChatGPT sepenuhnya.
“Sebagai penulis, kita kena ada visi, rasa estetika dan nilai dalam kandungan yang kita hasilkan. Karya kita seharusnya mencerminkan identiti tersendiri. Melalui cara penulisan, pembaca boleh tahu dan kenal siapa penulisnya,” katanya kepada BH Online.
Setiap karya yang dihasilkan penulis bagi Rozie bukan sekadar susunan dialog atau babak yang menarik, sebaliknya lahir daripada cebisan kisah sebenar yang pernah dilaluinya sendiri.
“Setiap naskhah yang saya tulis mesti ada elemen cerita betul. Ada yang diambil daripada pengalaman sendiri atau kawan sebab elemen itu lebih menyentuh jiwa manusia.
“Saya pernah cuba menulis menggunakan ChatGPT, tetapi apabila baca semula saya rasa tidak puas.
“Apabila kita cuba buat semula, rasa tertekan sebab kita sudah ‘set’ (tetapkan) dalam minda kononnya kita perlu gunakan AI (kecerdasan buatan), itu silapnya.
“Kita kena tahu, kejadian dan ciptaan Allah bagi akal manusia masih tetap melangkaui jauh lebih baik daripada AI. Itu yang Allah bagi kita dan ChatGPT tiada iaitu jiwa,” katanya.
Dalam pendedahan sebelum ini, Darling dilapor terpaksa menolak beberapa kertas cadangan projek drama sebaik menyedari skrip dikemuka dihasilkan melalui aplikasi ChatGPT, sebaik semakan dibuat.
Meskipun kewujudan teknologi AI seperti ChatGPT diakui mampu menjimatkan masa dalam proses penulisan skrip, namun, kebergantungan itu belum dapat mengatas keupayaan manusia dalam menyuntik emosi dan rasa dalam karya.
Pengarah kreatif dan penulis skrip, Marr Mohamad Irwan Mansor, berkata sebijak mana pun teknologi tidak mampu menzahirkan perasaan dan emosi yang ada pada manusia.
“Teknologi itu tidak mampu hendak merasai denyut emosi manusia termasuk pengalaman kecewa, kehilangan dan jatuh cinta yang menjadi elemen penting dalam naskhah.
“Setiap naskah perlukan sentuhan emosi yang dirasai manusia sahaja. ChatGPT boleh bagi jalan pintas, namun jalan yang paling betul dan indah masih datang daripada jiwa penulis yang sebenar,” katanya.
Marr yang menghasilkan skrip drama bersiri Racun Rihanna itu menjelaskan, ChatGPT akan menjadi pembantu yang baik tanpa menggugat identiti atau integriti penulis jika diguna sebaiknya.
“Ada ketika penulis alami kebuntuan idea atau waktu yang sukar untuk menjana idea. Jadi, pada ketika itu, ChatGPT inilah yang membantu, di mana ia sekurang-kurangnya memberi ilham atau idea baharu,” katanya.
Penggunaan ChatGPT dalam kalangan penulis skrip tempatan bagi Marr bukan sesuatu yang pelik, terutama dalam keadaan produksi yang mengejar masa dan berdepan kekangan tempoh menyiapkan skrip.
“Saya fikir ramai penulis guna ChatGPT untuk memudahkan mereka daripada segi idea atau struktur, bukan untuk menulis keseluruhan naskhah.
“Kejayaan skrip ataupun naskhah itu sebenarnya datang daripada kreativiti, naluri, indera rasa dan pengalaman penulis itu sendiri,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






