Home Buletin Semasa HAWANA 2025 BERSEJARAH: AKTA MEDIA DIKUATKUASA, RM30 JUTA DIUMUM, WARTAWAN TERUS DIHARGAI

HAWANA 2025 BERSEJARAH: AKTA MEDIA DIKUATKUASA, RM30 JUTA DIUMUM, WARTAWAN TERUS DIHARGAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan detik bersejarah apabila Akta Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 berkuat kuasa serta merta dan Lembaga Pengasas MMM dimuktamadkan dengan pengumuman barisan 12 anggota.

Pengumuman itu dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di hadapan lebih 1,000 pengamal media dalam dan luar negara pada majlis kemuncak HAWANA 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Merdeka WTCKL.

Sukacita saya maklumkan bahawa Lembaga Pengasas bagi Majlis Media Malaysia telah pun dimuktamadkan,”katanya dalam ucapan.

Penguatkuasaan akta itu menjadi kemuncak kepada perbincangan bertahun-tahun lamanya yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri untuk memperkasakan pengamal media sambil memastikan akauntabiliti, seterusnya menangani kebimbangan orang ramai mengenai amalan media.

Dalam usaha menjaga kebajikan pengamal media di Malaysia Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sudah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan menerusi Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan pada April 2023.

“Sehingga hari ini seramai 441 pengamal media di seluruh negara sudah menerima manfaat dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.2 juta,”katanya.

Selain itu hasil sinergi Bernama dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan atau stringer diberi menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPS) yang memanfaatkan 531 pengamal media sambilan untuk tempoh setahun pada tahun lepas.

“Manfaat perlindungan ini dilanjutkan bagi tempoh satu tahun lagi dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM31,170. Maksudnya semua yang dapat pada tahun lalu kami Bernama membantu untuk membayarkan supaya semua stringer terus dapat perlindungan sosial melalui skim tersebut,”katanya.

Menurutnya untuk tahun ini pemberian perlindungan untuk pengamal media sambilan diperluaskan dengan inisiatif caruman di bawah i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan peruntukan sebanyak RM15,930.

Inisiatif ini memberi manfaat selepas persaraan mereka. Kerajaan sudah memperuntukkan RM53,100 tahun ini bagi kedua-dua insentif yang saya sebutkan tadi,”katanya.

Khabar gembira sempena kemuncak HAWANA 2025 diteruskan lagi dengan pengumuman tawaran diskaun 50 peratus secara sekali beri bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN, khusus untuk semua pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia.

Pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes sudah bersetuju untuk menawarkan diskaun 50 peratus secara sekali beri bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN.

Fahmi berkata sehingga 4 Jun lalu seramai 12,428 pengamal media aktif berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia dan memiliki Kad Perakuan Media.

Katanya daripada jumlah itu seramai 12,297 adalah warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai platform di media cetak, penyiaran digital serta dalam talian.

“Pengumuman ini khusus untuk pemegang kad perakuan media warganegara Malaysia ini adalah inisitiaf hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan Air Asia,”katanya.

Tempoh tempahan akan dibuka dari sekarang hingga 31 Disember 2025 dan tempoh penerbangan mulai April hingga September 2026 untuk diskaun istimewa itu kepada pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia.

Bukan itu sahaja, Fahmi berkongsi berita baik bahawa Tony turut mengumumkan AirAsia akan menamakan pesawat dengan nama wartawan selain paparan livery atau imej di badan pesawat sejajar usaha mengenang peranan serta sumbangan pengamal media yang tidak henti memberi maklumat sahih kepada masyarakat ASEAN.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada organisasi media tempatan untuk transformasi digital serta penggunaan teknologi baharu dan menyifatkan ia peruntukan terbesar kerajaan kepada wartawan sejak merdeka.

“Saya bersetuju untuk memperuntukkan satu dana bagi membantu organisasi media dan negara. Umumnya dengan apa juga cara supaya trasnformasi digital itu berlaku dengan bantuan dana kerajaan, latihan dan pendedahan kepada wartawan terutama yang muda untuk memastikan dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan Artificial Intelligence (AI) di samping menjamin keseimbangan AI dan etika.

“Untuk itu kerajaan bersetuju memperuntukkan RM30 juta, ini adalah peruntukan terbesar yang kerajaan beri kepada wartawan,”katanya dallam ucapan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here