Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
JERTIH: Nenek kepada mangsa nahas bas jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, sempat berjumpa dengan cucunya buat kali terakhir semasa majlis tahlil.
Nenek berkenaan, Che Dayang Ismail, 68, berkata keluarganya merasai kehilangan besar setelah cucu sulung daripada 24 cucunya meninggal dunia dalam kemalangan.

“Semalam, dia (Nur Dalila Farhana) datang ke rumah saya pada majlis tahlil untuk datuknya.
“Nur Dalila Farhana kelihatan teruja mengambil gambar dan bergaul bersama sepupu-sepupu yang lain, biasanya dia agak pendiam tetapi kelihatan gembira dengan suasana itu,” katanya kepada IMedikel TV, hari ini.
Che Dayang berkata, dia tidak sempat memberi perhatian kepada cucunya itu kerana sibuk melayan tetamu yang datang ke tahlil berkenaan.
Menurutnya, penuntut semester dua Pendidikan Awal Kanak-kanak tersebut sangat berminat untuk bergelar seorang guru dan menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di UPSI.
Katanya keluarga mereka kini membuat persiapan bagi pengurusan pengebumian jenazah yang akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baharu Tok Dor, di sini, sebaik jenazah tiba nanti.
IMedikel TV






