KUALA LUMPUR: Penyanyi Zaki Yamani, 19, sebaiknya enggan bercerita mengenai hubungan cintanya dan berkongsi kepada umum jika sudah memiliki kekasih.
Memetik laporan Harian Metro, Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah berkata bukan tidak pernah, memang pengalaman bercinta itu ada namun lebih suka berdiam mengenainya.
“Saya anggap kontroversi cinta itu perkara biasa. Kalau digosipkan pun, saya okay saja. Tapi kalau boleh, saya lebih suka diam-diam. Saya tak mahu orang bertanya.
“Sekarang saya masih ‘single’ dan kalau saya bercinta sekalipun, saya tidak akan kongsi dengan orang,” katanya pada pelancaran muzik video lagu duet bersama Putridahlia, Aku Ada di The Port Family, IOI Mall Puchong, semalam.
Sebelum apa-apa, Zaki juga turut menjelaskan bahawa dia memang sukakan wanita. Dia bukan berhajat sorok kisah cinta kerana risau akan orientasi seksualnya.
Dia akui timbul kerisauan jika ada yang berfikir bahawa dirinya cenderung dalam hubungan songsang.
“Saya ‘straight’! Takut nanti ada fikir saya ‘gay’ pula. Saya sembunyikan hubungan bukan sebab saya nak sorok orientasi. Saya cuma tak mahu netizen salah faham.
“Malu juga kalau ayah saya salah sangka. Setakat ini belum pernah ada gosip macam tu, jadi saya jelaskan awal-awal,” kata anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah itu.
Hakikatnya, Zaki sudah pernah beberapa kali menjalinkan hubungan namun semuanya tidak kekal lama. Dedahnya, dia yang sering jadi mangsa ditinggalkan kekasih.
“Saya banyak kali putus cinta tapi saya bukan kaki perempuan. Biasanya saya yang ditinggalkan. Tak semestinya orang pilih sebab rupa saja,” katanya.
Dalam pada itu, Zaki turut menjelaskan hubungannya dengan Putridahlia pula hanyalah kawan rapat dan sudah lama saling mengenali.
“Kami memang ada ‘chemistry’ yang baik, tapi kalau saling berpandangan pun, kami akan ketawa. Jadi saya rasa hubungan itu tak akan jadi lebih daripada kawan,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






