Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Rawatan bekam wajah mampu menyingkirkan darah kotor dan melancarkan peredaran darah.
Namun, selepas menjalani rawatan ini, individu dinasihatkan untuk tidak menggunakan sebarang produk penjagaan kulit atau solekan dalam tempoh 24 hingga 48 jam bagi mengelakkan iritasi dan memberi ruang kepada kulit untuk pulih secara semula jadi.
Selepas individu menjalani rawatan bekam darah pada wajah, proses bekam menyebabkan luka mikro atau lebam pada permukaan kulit.
Penggunaan skincare atau make up ketika kulit masih belum pulih sepenuhnya boleh mendatangkan risiko jangkitan, iritasi akibat kandungan kimia seperti alkohol atau asid, serta memperlahankan proses pemulihan semula jadi kulit.
Tempoh sekurang-kurangnya 24 jam membolehkan kulit pulih sepenuhnya daripada sebarang kesan lebam, luka kecil atau ketidakselesaan yang mungkin berlaku akibat rawatan.
Dalam tempoh pemulihan selepas rawatan bekam wajah, individu disarankan untuk menggunakan produk yang ringan dan bersifat menenangkan kulit.
Antara yang sesuai digunakan termasuk air mawar asli atau hydrosol tanpa kandungan alkohol, serta gel aloe vera tulen yang membantu menyejukkan kulit dan mempercepat proses pemulihan.
Pelembap juga boleh digunakan, namun pastikan ia bebas daripada alkohol dan pewangi yang boleh menyebabkan iritasi.
Dalam masa yang sama, produk penjagaan kulit yang bersifat aktif seperti serum vitamin C, retinol, AHA/BHA, serta scrub, masker tanah liat, dan pelindung matahari bertekstur berat perlu dielakkan buat sementara waktu.
IMedikel TV






